Pengguna memilih untuk menebus bantuan Sara untuk membeli barangan keperluan kering seperti beras, telur, roti dan biskut kerana ia membantu mereka berjimat di samping tahan lama.

‘Ramai tebus Sara, kami lambat tutup kedai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai memanfaatkan sepenuhnya pemberian kredit RM100 melalui bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dengan memborong beras, mi segera, gula dan biskut ke­ring berbanding keperluan lain hingga menyebabkan bekalan itu kehabisan lebih cepat di sesetengah kawasan.

Tinjauan Kosmo! mendapati barangan keperluan itu menjadi pilihan utama untuk ditebus memandangkan ia tahan lama dan boleh menampung stok makanan bagi sesebuah keluarga untuk tempoh tertentu.

Selain itu, barangan lain yang menjadi pilihan pengguna termasuk tepung, roti, telur, minyak masak dan minuman.

Di Kuantan, suri rumah, Helam Hijau Hanafiah, 45, berkata, beras menjadi pilihan untuk ditebus memandangkan ia menjadi makanan utama keluarga­nya.

“Menebus beras adalah pilihan tepat kerana ia menjadi makanan kita setiap hari dan saya menggunakan tiga Mykad ahli keluarga untuk menebusnya.

“Jadi banyak mana pun stok yang ada ia akan habis dan tidak akan berlaku pembaziran,” katanya yang berasal dari Jabor.

Menurut Helam Hijau, dia bersama suami dan seorang anak­nya membeli pelbagai jenis beras termasuk beras import dan beras basmathi untuk keperluan keluarga menggunakan bantuan berkenaan.
Azrul Riduan Abdul Rahman, 40, dari Rompin pula berkata, dia menghabiskan wang bantuan Sara untuk membeli gula, beras dan minyak masak sebagai stok di rumah memandangkan barangan itu sering kurang di pasaran sebelum ini.

“Ini peluang saya simpan stok. Ini merupakan sumbangan pertama kali yag kami terima,” katanya.

Sementara itu, di George Town, mi segera dan biskut ke­ring antara produk paling ‘hot’ yang ditebus kerana ia mampu disimpan selama dua bulan.

Tinjauan di beberapa pasar raya mini di kawasan pulau dan Seberang Perai di sini mendapati, rak barangan makanan asas itu kebanyakannya kosong setelah habis ‘disapu’ pelanggan.

Selain itu, minyak masak, beras, sabun pewangi pakaian, susu tepung bayi, milo serta nescafe juga antara barangan yang menjadi pilihan.

Faridah Ahmad, 55, berkata, dia lebih mengutamakan stok makanan kering memandangkan harga yang dipasarkan serendah RM10.

“Dengan harga RM50, saya dapat beli lima mi segera pada harga RM4.80 satu. Bakinya saya beli empat lagi aneka bungkusan biskut kering dan manis.

“Bagi saya, stok makanan ke­ring antara barangan asas yang paling penting disimpan di rumah, terutama jika berlaku kecemasan atau jimat duit gaji terutama menjelang hujung bulan,” katanya.

Nurul Lina Hanif, 39, pula berkata, dia lebih suka menebus wang Sara di kedai runcit berbanding pasar raya besar.

“Saya beli stok gula dan barangan asas lain secara sikit-sikit mengikut keperluan. Kedai runcit lebih selesa kerana tak ramai orang dan senang nak pilih barang,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pekerja di sebuah kedai runcit di Kampung Batu Gajah, Butterworth di sini pula mendakwa, antara barangan Sara yang paling laris di premis itu adalah beras, milo, sardin dan telur.

“Ramai tebus Sara sehinggakan kami terpaksa tutup kedai lewat pada pukul 10.30 malam berbanding sebelum ini pada pukul 9 malam,” jelasnya.

Di Kuala Lumpur, pengguna yang berkeluarga menebus makanan kering seperti biskut, mi segera, roti minuman kotak dan tiga dalam satu.
Hanna Natasha Azmi, 35, berkata, dia dan suami mem­belanjakan kesemua bantuan Sara untuk membeli barangan dapur dan makanan ringan anak-anak.

Saliha Ahmad Radzi, 28, pula berkata, dia berbelanja barangan basah bagi keperluan di rumah.

“Tak lupa juga tuala wa­nita yang mana ia sangat-sangat diperlukan,” katanya.

Kelmarin, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, beras antara produk paling laris ditebus hingga menyebabkan kehabisan stok.

Terdapat 14 barangan yang boleh ditebus melalui Sara me­rangkumi beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan juga peralatan persekolahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN