WASHINGTON – Masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja melonjak di seluruh dunia, didorong oleh pemasaran makanan ringan yang tidak beretika, demikian menurut amaran Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) kelmarin.
Menurut agensi PBB itu, kes obesiti kini mengatasi masalah kekurangan zat makanan buat kali pertama dalam kalangan mereka yang berumur lima hingga 19 tahun.
UNICEF dalam satu laporan berkata, hampir satu daripada 10 individu dalam kumpulan umur tersebut dijangka menghidap penyakit kronik pada tahun ini. Ia didorong oleh makanan ultra proses walaupun terdapat beberapa negara yang masih bergelut dengan masalah kekurangan zat makanan.
“Hari ini apabila kita bercakap tentang malnutrisi, kita bukan sekadar bercakap tentang kanak-kanak yang kekurangan berat badan.
“Makanan ultra proses semakin menggantikan buah-buahan, sayur-sayuran dan protein ketika nutrisi memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan pertumbuhan, perkembangan kognitif dan kesihatan mental kanak-kanak,” kata Ketua UNICEF, Catherine Russell.
UNICEF melaporkan bahawa kadar kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah kekurangan berat badan menurun kepada 10 peratus bagi tahun 2022 daripada 13 peratus pada 2000, berdasarkan data dari 190 negara.
Namun, bilangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan meningkat dua kali ganda daripada 194 juta kepada 391 juta orang dalam tempoh sama.
Peningkatan itu bagaimanapun lebih ketara untuk obesiti iaitu sejenis berat badan berlebihan yang lebih serius serta dikaitkan dengan gangguan metabolik seperti diabetes, kanser tertentu, kebimbangan dan kemurungan.
Pada 2022, lapan peratus daripada kanak-kanak dan remaja seluruh dunia atau seramai 163 juta orang menghidap obesiti berbanding tiga peratus pada tahun 2000.
UNICEF menganggarkan kadar obesiti global dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur antara lima hingga 19 tahun mencapai 9.4 peratus tahun ini sekali gus mengatasi kekurangan berat badan yang kini pada paras 9.2 peratus. – AFP