PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski memuji persembahan yang dipamerkan anak buahnya selepas menewaskan Palestin 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Menurut Cklamovski, kemenangan itu adalah bukti kesungguhan, disiplin dan mentaliti sepasukan yang dipamerkan pemain ketika berdepan pasukan yang agresif.
“Tempoh 60 minit pertama adalah yang terbaik buat skuad negara, namun memasuki 20 minit terakhir kami banyak bertahan dengan baik bagi mematahkan asakan bertali arus pasukan lawan.
“Saya bangga dengan pemain kerana berjaya merekodkan kemenangan tanpa dibolosi, ini saya pencapaian yang membanggakan. Kita berjaya tewaskan Palestin, pasukan yang telah layak beraksi di Piala Asia dan berada pada ranking ke-98 dunia,” katanya.
Pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 itu, Joao Figueiredo muncul wira Malaysia apabila jaringan tunggalnya pada minit kedua bagi membantu Harimau Malaya menewaskan Palestin.
Pengendali kelahiran Australia itu juga berpuas hati setelah pemain tempatan yang diberikan tugas di barisan pertahanan melakukan tugas dengan baik sepanjang 90 minit permainan.
Katanya, langkahnya mempertaruhkan Shahrul Saad, Harith Haiqal Adam Afkar dan Dominic Tan ‘menjadi’ setelah berjaya mematikan asakan lawan dan mengelakkan gawang dibolosi.
Katanya, selepas melalui dua aksi persahabatan itu, beliau akan memastikan untuk meningkatkan lagi kualiti permainan dan bersedia untuk aksi bulan Oktober nanti.