KOTA KINABALU – Tulisan tangan orang lain ditemui dalam sebuah buku milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh menemui tulisan berkenaan yang diperiksanya
sebelum ini.
Nurul Atiqah ketika membacakan keterangan bertulisnya di Mahkamah Koroner, hari ini menyatakan tulisan tangan terbabit ditemui di beberapa muka surat
dalam buku bertanda ‘W3’.
“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan yang signifikan mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan daripada contoh tulisan tangan ‘SA’ (tulisan tangan Zara Qairina).
“Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini tidak ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina).
“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat satu adalah campuran tulisan tangan penulis contoh (Zara Qairina) dan seorang yang lain,” katanya.
Nurul Atiqah menyatakan
buku bertanda W3 itu ialah sebuah buku ‘Diamonds’ yang beliau nomborkan dari muka surat satu hingga 103, bertarikh antara 16 November 2024 dan 24 Mei 2025, mengandungi tulisan tangan yang dipertikaikan atau dipercayai milik arwah Zara Qairina.
Menurut Nurul Atiqah, dia memeriksa sebanyak 15 helai kertas, empat buku nota dan dua buku teks yang mengandungi tulisan tangan bagi menentuksan sama ada tulisan tersebut milik arwah Zara Qairina atau bukan.
Dalam pada itu, beliau berkata semua dokumen lain yang diperiksanya hanya mengandungi tulisan arwah Zara Qairina sendiri berikutan pemeriksaan menunjukkan persamaan yang signifikan dengan contoh tulisannya.
Dokumen itu ialah helaian kertas bertanda Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15 selain dalam helaian kertas Y8 dan buku bertanda W1 dan W2.
“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’.
“Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina),” katanya.
Setelah selesai dianalisis, katanya semua dokumen terbabit dimasukkan kembali ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan ‘JABATAN KIMIA MALAYSIA’.
Nurul Atiqah berkata, dokumen itu bersama tiga salinan laporan kimia kemudian diserahkan kepada polis pada jam 10.45 pagi, 2 September lalu.
Terdahulu, Mahkamah Koroner hari ini diberitahu sebanyak 21 beg barang kes Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengandungi kertas bertulisan tangan diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.
Perkara itu diberitahu Pemeriksa Dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Nurul Atiqah Mohd Noh selaku saksi kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, semua dokumen bertanda W1 hingga W6, Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15 bermeterai Polis Diraja Malaysia 314, selain satu Borang Polis 31 bernombor aduan Kinarut 1776/25 itu diterima pada jam 8.37 pagi, 20 Ogos lalu.
Ketika prosiding, Nurul Atiqah membuat pengecaman semula dokumen terbabit yang berupa helaian kertas mengandungi tulisan tangan yang ditanda ‘Y’, selain buku latihan, buku kerja dan buku nota milik arwah Zara Qairina yang ditanda ‘W’.- KOSMO! ONLINE