Telur yang dikeluarkan oleh reban ayam penelur tertutup yang terletak di Ladang 15, UPM, Serdang, Selangor.

Reban canggih UPM bekal 1,200 telur setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI Ladang 15 yang terletak di Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor berdiri sebuah reban ayam penelur tertutup yang mampu menghasilkan purata lebih 1,200 biji telur segar setiap hari.

Malah, UPM kini merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang memiliki sebuah reban ayam penelur tertutup yang dilengkapi dengan teknologi terkini bagi tujuan pembelajaran.

Reban tersebut dibina adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar Bacelor Sains Haiwan di UPM mendalami ilmu secara praktikal sebelum mereka masuk bekerja di dalam industri.

Pembangunan reban ayam penelur tertutup ini adalah cetusan idea Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen untuk para pelajarnya mendalami ilmu secara praktikal.

Teck Chwen berkata, bidang pengajian sains haiwan di UPM telah ditawarkan sejak 15 tahun lalu dan masalah utama yang dihadapi adalah fasiliti praktikal yang tidak mencukupi.

Menurutnya, pihak fakulti mendapat maklum balas daripada pihak industri yang mengatakan bahawa pelajar mereka agak lemah dari segi praktikal.

“Mereka tidak ada pengalaman dari segi praktikal dan kita memerlukan fasiliti-fasiliti sesuai yang digunakan di dalam industri untuk tujuan tersebut.

“Tetapi dengan bantuan pihak industri kita mampu untuk membina reban ayam pedaging tertutup dan reban ayam penelur secara tertutup sepertimana yang digunakan oleh pihak industri bagi membolehkan pelajar mendalami ilmu secara praktikal,” kata Teck Chwen kepada K-Kampus.

Reban ayam pedaging tertutup telah dibina oleh pihak industri Malayan Flour Mills Berhad dan AGCO GSI (Malaysia) Sdn. Bhd. pada 10 tahun lalu.

Sementara untuk reban ayam penelur tertutup pula ia dibina oleh QL Resources Berhad yang merupakan sebuah syarikat pengeluar telur terbesar dan diserahkan kepada UPM pada awal tahun lalu.

Mengulas lanjut Teck Chwen berkata, sebelum ini mereka juga mempunyai reban ayam penelur terbuka dan pembelajaran pengurusan lebih bersifat konvensional.

“Tetapi untuk reban ayam penelur tertutup yang baharu ini, ia lebih canggih dan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Semua sistem di dalam reban ini adalah automatik di mana kita boleh mengawal suhu di dalam reban, pengumpulan telur secara automatik dan lain-lain lagi sepertimana yang digunakan di dalam industri.

“Selain belajar menguasai teknologi tersebut, pelajar juga didedahkan dengan kaedah pengurusan haiwan dari aspek kesihatan, vaksinasi, pemakanan dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Tambah Teck Chwen, apabila para pelajar ini tamat pengajian kelak mereka sudah mempunyai pengalaman sebenar untuk bekerja di dalam industri ataupun menjadi usahawan dalam bidang ini.

Malah, kerjasama strategik dengan industri juga membolehkan sebahagian graduan terus diserap bekerja sebaik tamat pengajian.

Malah, dianggarkan 20 hingga 30 peratus graduan UPM dalam bidang ini kini berkhidmat dengan syarikat ternakan ayam besar di Malaysia.

Teck Chwen berkata, kerjasama bersama pihak industri dalam bidang pertanian pada ketika ini amat diperlukan.

“Apabila kita menjalinkan kerjasama bersama industri ia memberi banyak kebaikan kepada pelajar terutamanya.

“Jalinan kerjasama ini bagi memudahkan para pelajar yang sudah mempunyai ilmu pengetahuan terutama dalam bidang praktikal untuk diterima kerja di dalam industri.

“Ini juga memudahkan pihak industri kerana mereka akan menerima tenaga kerja yang sudah mahir,” terangnya.

Ayam penelur yang menghuni reban ini adalah baka Hisex Brown.

Kata Teck Chwen lagi, ini juga merupakan sebahagian daripada pelan startegik UPM sendiri untuk memperkasa keterjaminan makanan dengan menghasilkan bakat-bakat yang berkaliber dalam bidang pertanian.

Teck Chwen berharap, lebih banyak pemain industri tampil membantu membina fasiliti moden di universiti.

Melalui cara ini, lebih ramai pelajar dapat merasai pengalaman sebenar, sekali gus menjadikan pendidikan pertanian, khususnya sains haiwan dan veterinar di Malaysia setaraf negara maju.

“Kalau kita nak hasilkan graduan yang relevan, kita kena dekatkan mereka dengan realiti industri.

“Inilah masa depan pendidikan kita,” katanya.

Dalam pada itu, reban ayam penelur tertutup yang terletak di Ladang 15, UPM berada di bawah kelolaan Pembantu Veterinar, Mior Mohd. Nizam Mior Mohd. Shopi bersama pasukannya.

Menurutnya, pengurusan di Ladang 15 meliputi keseluruhan rantaian, bermula daripada penjagaan kesihatan ayam, kebersihan reban sehinggalah pemasaran telur.

“Reban ini sebenarnya mampu menempatkan sehingga 2,000 ekor ayam penelur, tetapi ketika ini ia diisi hampir 1,500 ekor ayam daripada baka Hisex Brown.

“Setiap hari, ayam-ayam penelur ini mampu menghasilkan purata lebih 1,200 biji telur dan kutipan bermula seawal pukul 8.30 pagi selepas pemeriksaan rutin ayam dilakukan.

Tambahnya, telur ini kemudian akan melalui proses penggredan mengikut gred iaitu AA, A, B dan C sebelum dijual kepada pelanggan pada hari yang sama.

Malah, telur ayam yang dihasilkan daripada reban tertutup itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan warga UPM serta masyarakat sekitar.

Harga ditawarkan mengikut gred pasaran semasa.

Pihak ladang turut memberikan jaminan penggantian sekiranya terdapat aduan berhubung kualiti bagi meningkatkan keyakinan pembeli terhadap produk UPM.

Mior Mohd. Nizam menjelaskan, ayam penelur di reban itu akan terus bertelur sehingga umurnya 90 minggu.

“Ayam ini mula bertelur pada usianya 18 minggu dan akan terus produktif bertelur sehingga umurnya 90 minggu.

“Dalam tempoh masa ini, seekor ayam ini mampu untuk menghasilkan purata enam biji telur dalam masa seminggu.

“Selepas 90 minggu, ayam ini sudah tidak produktif untuk terus bertelur dan kita akan menggantikannya dengan ayam penelur baharu yang kita ternak sendiri,” ulasnya.

Mior Mohd. Nizam juga mengakui bahawa antara cabaran utama menguruskan reban itu adalah kos makanan ayam yang tinggi, selain kebimbangan pada peringkat awal sama ada telur dapat dipasarkan.

“Namun dengan bantuan media sosial, promosi mulut ke mulut, serta sokongan komuniti, semua telur kini boleh dikatakan habis dijual setiap hari.

“Apa yang lebih penting, hasil jualan ini digunakan semula untuk menampung kos makanan ayam dan penyelenggaraan, manakala fokus utama kekal pada aspek pengajaran dan pembelajaran pelajar,” jelasnya.

Tujuan utama projek ini adalah untuk pengajaran dan perkongsian teknologi kepada para pelajar.

Pelajar tak perlu lagi pergi jauh ke ladang industri, kerana model reban ayam penelur tertutup yang ada di situ hampir sama, cuma dalam skala lebih kecil.

Sementara itu, Penolong Pegawai Veterinar Ladang 15 UPM, Mohamad Naim Sabiun berpendapat bahawa, pelajar mendapat manfaat yang besar dengan adanya reban ayam penelur tertutup yang sama seperti digunakan oleh pihak industri.

“Pelajar daripada program Bacelor Sains Haiwan akan mengikuti mengikuti sesi amali di sini.

“Mereka berpeluang untuk belajar tentang pengurusan makanan dan nutrisi ayam, kawalan penyakit, vaksinasi, sistem automasi makanan dan minuman, sehinggalah ke aspek biosekuriti untuk menerima pelawat luar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN