fbpx
REVOLUSI Harimau Malaya masih sedang berjalan, namun para peminat semakin yakin dengan kemampuan pasukan untuk meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

Fasa pertama revolusi Harimau Malaya ‘selesai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REVOLUSI Harimau Malaya yang sedang berjalan ketika ini semakin menunjukkan indikator yang cukup positif bermula dengan ‘menginstitusikan’ pasukan kebangsaan, kemudian kehadiran Peter Ckalmovski serta kehadiran pemain-pemain berstatus warisan.

Setakat empat perlawanan rasmi yang diharungi sepanjang tahun ini, Harimau Malaya memperlihatkan perubahan dari segi prestasi ketika para peminat harus percaya bahawa proses ini belum tiba ke tahap matang dan masih berjalan.

Empat aksi berkenaan menyaksikan skuad kendalian Cklamovski masih belum berdepan kekalahan, kecuali aksi tertutup ketika tewas 0-3 menentang Cape Verde sebelum ini dan itu tidak dianggap sebagai perlawanan rasmi.

Kejayaan membenam Vietnam 4-0 boleh dianggap luar biasa ketika para peminat sejak 10 tahun lalu tidak pernah yakin mampu mencatat kemenangan, apatah lagi dengan jumlah jaringan sebanyak itu, namun akhirnya itu berjaya direalisasikan.

Secara hakikatnya, fasa pertama revolusi Harimau Malaya sebenarnya sudah diharungi dengan jaya apabila persepsi peminat terhadap kekuatan pasukan lebih positif, malah keyakinan untuk memenangi setiap perlawanan juga meningkat.

Hampir tiga bulan selepas kejayaan menewaskan Vietnam, Harimau Malaya turun berdepan seteru seberang tambak, Singapura pada Khamis lalu dan ketika Cklamovski dianggap terus bereksperimen mengenai kesebelasan utama, kemenangan terus dicatat biarpun tipis.

Peminat bola sepak negara ketika ini berada dalam situasi keyakinan paling memuncak apabila mereka percaya Harimau Malaya memiliki kemampuan untuk memenangi perlawanan biarpun siapa juga pasukan yang bakal mereka tentang terutama di rantau Asia Tenggara.

Malah, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa peluang untuk Harimau Malaya menewaskan Indonesia yang turut sedang melalui fasa revolusi sekiranya perlawanan dilangsungkan adalah seimbang.

Berdasarkan sudut pandang penyokong dan peminat, mereka sudah mula menikmati keyakinan dan meletakkan kepercayaan terhadap kemampuan skuad negara sekali gus ia sebenarnya adalah fasa pertama revolusi yang boleh dianggap selesai.

Memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada peminat adalah ‘kunci’ kerana ia membuatkan mereka mula kembali ke stadium seterusnya menjadi ‘pemain ke-12’ untuk membantu meniupkan semangat buat para pemain di atas padang.

Menjelang aksi kedua persahabatan malam ini menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, tidak ada faktor yang mampu menghalang peminat untuk merasai bahawa Harimau Malaya tidak akan berdepan masalah untuk mencatat satu lagi kemenangan biarpun ranking pasukan lawan di kedudukan lebih tinggi.

Tanggungjawab Cklamovski dan para pemain negara adalah membenarkan keyakinan tersebut dan memastikan harapan itu tidak palsu dengan memberikan aksi terbaik dan memenangi perlawanan untuk memastikan Harimau Malaya terus mendaki tangga ranking ke kelompok 100 pasukan terbaik hujung tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN