KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar menjunjung prinsip keadilan dalam segenap urusan demi keamanan negara.
Baginda bertitah, sejarah Islam membuktikan keadilan merupakan tonggak perpaduan apabila Rasulullah sendiri memimpin masyarakat Madinah yang berbilang agama dengan penuh hikmah melalui Piagam Madinah.
“Saya menyeru para pemimpin, ulama, penguat kuasa dan rakyat jelata supaya menjunjung keadilan dalam segenap urusan.
“Tanpa keadilan negara akan berpecah, tanpa kasih sayang, masyarakat akan rapuh. Islam datang sebagai rahmat untuk semua, bukan sekadar untuk satu bangsa atau kelompok,” titah baginda ketika berkenan menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda turut diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah dalam masa sama, turut menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan budaya perkauman sempit serta isu-isu 3R (agama, raja dan kaum) yang kian meruncing sejak kebelakangan ini.-KOSMO! ONLINE