fbpx
Tengku Natasya Puteri dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar.

Tengku Natasya Puteri dikurnia gelaran Tengku Puan Bendahara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan gelaran Tengku Puan Bendahara kepada Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, menerusi satu pengisytiharan memaklumkan gelaran itu berkuat kuasa hari ini.

Tengku Natasya Puteri adalah isteri kepada Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pasangan diraja itu telah diijabkabulkan pada 24 Oktober 2024.

Sementara itu, Majlis Kesultanan Pahang (MKP) dengan penuh hormat dan takzimnya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pengurniaan gelaran Tengku Puan Bendahara kepada Tengku Natasya Puteri.

“Patik pacal-pacal sekalian mendoakan kurniaan gelaran tersebut memberi kebaikan buat Tengku Puan Bendahara sebagai pendamping setia untuk memberi semangat, sokongan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Arif Bendahara,” katanya.

MKP juga mendoakan Tengku Puan Bendahara dikurniakan kebahagiaan, rahmat serta perlindungan dari Allah dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai keluarga Diraja Pahang yang sentiasa menjunjung tinggi adat, warisan serta nilai murni Kesultanan Melayu Pahang.

“Patik pacal-pacal sekalian juga berdoa semoga segala usaha dan pengorbanan Tengku Puan Bendahara sentiasa diberkati Allah, serta dikurniakan kesejahteraan berpanjangan, kebahagiaan rumah tangga dan kehidupan yang dirahmati di dunia dan di akhirat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN