ROM – Franco Morbidelli sah meneruskan kerjasama bersama pasukan VR46 Racing musim depan sekali gus melengkapkan barisan pasukan kendalian legenda Itali, Valentino Rossi.
Pengumuman itu hadir selepas Morbidelli menikmati separuh pertama musim 2025 yang positif bersama jentera Ducati Desmosedici GP dalam perlumbaan musim ini,
Pelumba Itali itu berjaya menaiki podium sebanyak dua kali dalam perlumbaan utama dan dua kali lagi dalam perlumbaan pecut sekali gus membolehkannya mengumpul 161 mata untuk berada di kedudukan keenam keseluruhan dengan baki lapan pusingan.
“Franco (Morbidelli) adalah sebahagian daripada keluarga VR46 sejak awal lagi. Dia cepat menyesuaikan diri dengan pasukan dan hubungan baik itu diterjemahkan kepada keputusan yang membanggakan.
“Tahun ini, dengan empat podium, kami sudah membuktikan kemampuan sebenar pasukan. Kami percaya pengalaman Franco akan terus menjadi nilai tambah bagi 2026,” kata Pengarah Pasukan, Alessio Salucci.
Morbidelli yang pernah menyarung jersi Pramac sebelum kembali ke ‘keluarga’ VR46, merupakan pelumba pertama yang menyertai projek Akedemi VR46 dan memenangi gelaran dunia Moto2 bersama pasukan itu.
Dia akan terus bergandingan dengan Fabio Di Giannantonio, sekali gus mengesahkan dua pelumba utama VR46 Racing untuk musim depan.
“Saya gembira kerana masih kekal bersama pasukan ini dan dapat mendengar berita baik ini adalah satu keseronokan. Kami mempunyai tempoh hampir setahun setengah lagi untuk membuktikan potensi besar yang ada,” kata Morbidelli. – AGENSI