PETALING JAYA – Selebriti antarabangsa, penggiat seni, atlet, pempengaruh media sosial dan tokoh awam berpengaruh digesa supaya tampil menyatakan sokongan terhadap misi Global Sumud Flotilla yang berlayar ke Gaza membawa bantuan kemanusiaan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, sokongan selebriti amat penting kerana pengaruh mereka mampu membuka mata dunia tentang kezaliman yang berlaku di Gaza sejak 18 tahun lalu.
“Rakyat Gaza telah lama terperangkap dalam sekatan zalim, berdepan pengeboman, kebuluran, serta pemusnahan rumah, sekolah, hospital dan sumber kehidupan.
“Flotilla ini bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi sebuah misi moral, kemanusiaan dan sejarah. Selebriti dunia mesti tampil memperkuatkan suara kebenaran dan menyingkap kezaliman yang berlarutan tanpa hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mapim menyeru agar selebriti, atlet, seniman, pemuzik, pempengaruh media sosial serta penerima Anugerah Nobel menggunakan platform masing-masing untuk menggerakkan solidariti global menuntut Israel menghentikan sekatan.
Tambahnya, dunia tidak boleh terus berdiam diri apabila Gaza cuba ditundukkan melalui kebuluran yang disengajakan.
“Flotilla ini adalah lambang penolakan dunia terhadap normalisasi genosid. Sejarah sedang memerhati sama ada kita memilih untuk berdiam atau bangkit merobohkan sekatan sekarang. Inilah masanya,” katanya.
Selebriti tanah air Ardell Aryana dan Zizi Kirana antara yang menyertai delegasi Malaysia dalam misi berkenaan. – KOSMO! ONLINE