PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syabas kepada anak orang asli, Muhammad Izzudin Hasmadi yang menerima Anugerah Ibnu Qayyim selepas berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran di bawah program Ulul Albab.
Ahmad Zahid dalam satu hantaran berkata, sejarah tercipta apabila Muhammad Izzudin, 16, dari suku Temiar, Pos Balar, Gua Musang itu menjadi anak orang asli pertama yang meraih anugerah itu.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan adik Izzudin dan percaya bahawa pencapaian ini mampu meniupkan inspirasi kepada anak-anak orang asli serta seluruh anak Malaysia untuk terus gigih berusaha mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.
“Saya turut menaruh harapan agar usaha memartabatkan pendidikan tahfiz dapat terus diperkasa, sekali gus melahirkan lebih ramai generasi al-Quran yang cemerlang,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut mendoakan agar kejayaan Muhammad Izzudin dan para hafiz orang asli sebelum ini terus menjadi pencetus semangat buat lebih ramai anak orang asli khususnya, dan juga anak-anak Malaysia amnya untuk mencontohi langkah mulia itu.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan! Semoga adik Izzudin terus istiqamah dan diberi kekuatan untuk menjadi insan yang memberi manfaat kepada ummah. Insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE