Selamat Hari Kebangsaan 2025. Bermula semalam, rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas sudah boleh menikmati bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) secara one off berjumlah RM100.
Bantuan yang dikreditkan ke dalam MyKad ini secara asas bakal memberi manfaat kepada 22 juta rakyat Malaysia melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM22 bilion.
Penerima boleh menebus bantuan di lebih 4,600 premis di seluruh negara bagi membeli 14 jenis barangan keperluan.
Paling penting bantuan ini boleh digunakan sehingga 31 Disember ini, jadi tidak perlu berbondong-bondong ke kedai hanya kerana bimbang bantuan expired. Tidak perlu.
Satu lagi yang perlu difahami, jika anda penerima bantuan MyKasih setiap bulan, anda juga akan menerima bantuan Sara. Tiada pemotongan atau penggantian kerana ia adalah bantuan tambahan.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran tidak termasuk dalam bantuan Sara dan atas dasar itu, kerajaan mungkin boleh melihat faktor ini untuk tempoh akan datang.
Bagi penulis, inisiatif ini dilihat sebagai satu bentuk suntikan kewangan khususnya bagi keluarga yang terkesan dengan peningkatan harga barangan asas.
RM100 ini mungkin nampak kecil di mata sesetengah orang tetapi bagi individu yang kehilangan pekerjaan, suri rumah daripada golongan B40, rakyat miskin pastinya bantuan ini sangat dituntut dalam memastikan hidangan sentiasa ada di atas meja.
Malah jika dibelanjakan dengan penuh berhemat sudah tentu ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan asas keluarga bulan berkenaan.
Dalam satu rumah, jika ada tiga individu yang berusia 18 tahun dan ke atas, mereka akan menikmati RM300, begitulah juga selebihnya.
Bantuan tanpa mengira pekerjaan dan taraf hidup. Golongan kaya yang tidak terdesak, di sinilah anda boleh mainkan peranan, belanjalah untuk mereka yang memerlukan.
Rumah orang tua, pusat jagaan, rumah anak yatim mahupun pusat tahfiz, mereka memerlukan perbelanjaan besar untuk keperluan asas.
Inilah golongan yang memerlukan sokongan dan keprihatinan anda mampu memberi makna yang besar dalam kehidupan mereka yang memerlukan.
Jangan dilupa jiran-jiran mahupun saudara mara yang hidup susah, bantuan RM100 itu boleh disalurkan kepada mereka, dengan cara membeli barangan utama.
Di sebalik bantuan Sara ini, janganlah pula kita membazir untuk sesuatu yang tidak sepatutnya hanya kerana mempunyai duit lebih. Sikap berhemah dalam berbelanja adalah kunci utama untuk memastikan bantuan yang diterima memberi kesan yang positif.
Penulis suka mengingatkan keluarga yang masih culas untuk melunaskan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Ada guru terpaksa merayu mohon bayar secara ansuran. Sekiranya kita punya lebihan, gunakanlah untuk pembangunan pembelajaran anak-anak di sekolah, sumbangan itu juga besar ganjarannya.
















