DEMI kecintaan terhadap Yamaha RXZ, 400 peminat motosikal dua lejang legenda itu dari Sabah dan Sarawak sanggup merentasi Laut China Selatan demi menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.
Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk buruh, operator pengeluaran kilang dan penjawat awam sanggup membelanjakan antara RM3,500 dan RM4,000 seorang untuk menyertai himpunan Yamaha RXZ terbesar di negara ini.
Salah seorang peserta, Zulfadli Musri, 39, berkata, penyertaan peminat Yamaha RXZ dari Sabah dan Sarawak dalam Himpunan RXZ Members pada 22 hingga 23 Ogos lalu itu merupakan kali ketiga sejak tahun 2023.
“Sewaktu pertama kali kami memutuskan untuk sama-sama berkonvoi ke Himpunan RXZ Members pada dua tahun lalu, hanya 10 pemilik Yamaha RXZ dari Sabah dan Sarawak menyertainya.
“Alhamdulillah, penyertaan meningkat kepada 400 orang pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Litar Permotoran Terengganu baru-baru ini.

Zulfadli yang berasal dari Bongawan, Papar, Sabah berkata, perjalanan konvoi mereka ke Himpunan RXZ Members 7.0 bermula dengan menghantar motosikal masing-masing menggunakan kapal laut bermula 20 Julai lalu.
Katanya, secara purata, perjalanan menerusi jalan laut mengambil masa 10 hari untuk motosikal Yamaha RXZ mereka tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.
“Kami pula bergerak secara berperingkat dengan menaiki kapal terbang untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mengambil motosikal masing-masing di Pelabuhan Klang.
“Perjalanan seterusnya ke Terengganu secara berkonvoi sejauh lebih 400 kilometer, sebelum tiba di lokasi penganjuran,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Manaf Haffizee Abd. Mues, 34, dari Lahad Datu, Sabah pula teruja dapat menyertai Himpunan RXZ Members buat pertama kali.
“Saya sudah lama memasang impian untuk menyertai perhimpunan ini dengan berkonvoi menunggang motosikal Yamaha RXZ yang dibeli kira-kira enam tahun lalu.
“Ikat perut jugalah sejak April lagi untuk kumpul duit belanja termasuk tiket kapal terbang, penginapan, makan minum dan kos minyak untuk ke himpunan RXZ ini,” ujarnya.
Manaf Haffizee berkata, motosikal Yamaha RXZ kesayangannya dibeli pada harga RM7,000 sebelum membelanjakan RM12,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian pada tahun 2019.
Ismawandi Kipli, 47, dari Kuching, Sarawak pula berasa cukup puas hati dapat berkonvoi merentasi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan LPT 2 yang diidamkannya selama ini.
“Berkonvoi beramai-ramai merentasi lebuh raya merupakan pengalaman baharu yang tidak dapat dilupakan.
“Apatah lagi dapat bertemu dengan kumpulan peserta dari negeri-negeri lain di tengah jalan.
“Teruja apabila melihat ribuan motosikal Yamaha RXZ berkonvoi serentak menuju ke destinasi sama di Litar Permotoran Terengganu.
“Sebelum ini, saya lihat dalam media sosial sahaja,” ujarnya.
Ismawandi berkata, Himpunan RXZ Members 7.0 bukan sekadar kegilaan terhadap motosikal dua lejang itu, malah lambang persahabatan, pengorbanan dan identiti anak muda Malaysia.















