fbpx
Pasport Malaysia memiliki ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan. -Gambar hiasan

NexG peroleh kontrak bekalkan pasport Malaysia selama enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – NexG Berhad (NexG) melalui anak syarikatnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), telah menerima dan bersetuju dengan Surat Tawaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi kontrak selama enam tahun (Kontrak).

Ia adalah untuk membekalkan Pasport Antarabangsa Malaysia, dengan nilai siling sebanyak RM1.728 bilion berdasarkan anggaran pengeluaran sebanyak tiga juta unit setahun.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Hanifah Noordin berkata, kontrak baharu ini akan meneruskan peranan DTSB sebagai pembekal pasport Malaysia sejak tahun 2016 dan syarikat akan memperkenalkan generasi baharu pasport yang dilengkapi dengan ciri keselamatan dan ketahanan terkini, mematuhi sepenuhnya piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Pasport siri baharu itu akan menggabungkan teknologi biometrik untuk perlindungan yang lebih kukuh dan penggunaan lancar di e-gate.

“Kami berasa amat berbesar hati dengan kepercayaan berterusan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada NexG. Mandat jangka panjang ini menekankan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian pasport yang selamat, boleh dipercayai dan bertaraf dunia.

“Selain memenuhi keperluan semasa, ia meletakkan NexG dalam kedudukan untuk menyokong aspirasi negara dalam aspek keselamatan, pendigitalan dan mobiliti antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Hanifah menerangkan, DTSB berbangga kerana pasport Malaysia adalah buatan Malaysia dan memenuhi atau melebihi piawaian antarabangsa, memperkukuh keselamatan sempadan dan membuka peluang untuk membekalkan penyelesaian yang dipercayai ke luar negara.

Kontrak baharu ini disusun berdasarkan model bayaran mengikut penggunaan, dengan nilai siling kontrak bergantung kepada jumlah sebenar pengeluaran pasport.

Model perolehan ini memastikan Kerajaan hanya membayar untuk jumlah pasport yang diperlukan, tanpa sebarang pelaburan awal atau perbelanjaan modal (CAPEX). Susunan ini memberikan ketelusan kos, fleksibiliti, dan melindungi Kerajaan daripada komitmen kewangan yang tidak perlu.

Tambah beliau, daripada  sudut perniagaan, kontrak jangka panjang ini memberikan impak kewangan positif yang besar kepada NexG dan menyediakan platform kukuh untuk pertumbuhan.

“Selain pasport, ia akan menyokong pengembangan Kumpulan ke dalam bidang pengenalan selamat dan penyelesaian digital yang berkaitan, serta memperkukuh kedudukannya dalam pengembangan pasaran baharu dan usaha niaga seperti identiti digital, pemprofilan kredit, dan pelaksanaan projek kerajaan di bawah tonggak strategik NexG yang lebih luas,” ujarnya.

Bagi menyokong pertumbuhan ini, NexG komited untuk melabur kira-kira RM250 juta bagi membangunkan kemudahan keselamatan tinggi baharu, yang menggabungkan amalan kemampanan sejajar dengan ESG untuk meningkatkan kapasiti, daya tahan dan tanggungjawab alam sekitar.

Jelasnya, mandat jangka panjang ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh lagi ekosistem teknologi tempatan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI