fbpx
Wan Rosnani (kanan) melayan karenah cucunya, Muhammad Hazriq Haikal ketika mencuba papan gelongsor sumbangan Econsave ketika ditemui di Kampung Sri Gemas, Tampin baru-baru ini.

Nenek sakit pinggang ‘tarik’ cucu OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMPIN – Kasih sayang seorang warga emas tidak pernah pudar buat cucunya yang terlantar walaupun badan dia sendiri tidak larat sehingga sakit pinggang apabila terpaksa menarik remaja itu dengan kain setiap kali hendak memandikannya di Kampung Sri Gemas di sini.

Wan Rosnani Mahmud, 67, berkata, dia menjaga cucu sulungnya, Muhammad Hazriq Haikal Abdullah, 13, sejak kecil selepas bapa orang kurang upaya (OKU) itu meninggal dunia, manakala ibunya pula mengalami masalah mental.

Katanya, dia sering menangis dan tidak lena tidur setiap kali mengenangkan nasib cucunya itu terutama jika apa-apa terjadi pada dirinya.

“Saya sebak dan takut me­ngenangkan nasibnya memandangkan dia anak yatim, manakala ibunya iaitu anak saya pula ada masalah mental.

“Saya tabahkan hati dan te­ruskan amanah menjaga Anje (Muhammad Hazriq). Ada kala­nya saya terpaksa menarik dia dengan kain kerana tak larat atau tidak sihat untuk mengangkatnya, namun saya lakukan de­ngan penuh cermat,” katanya.

Wan Rosnani ditemui ketika menerima sumbangan barangan keperluan bernilai RM1,000 dan papan gelongsor untuk memudahkan pergerakan Muhammad Hazriq Haikal daripada pasar raya Econsave Cawangan Gemas yang disampaikan Pengurusnya, Zarina Saili.

Menurut Wan Rosnani, dia bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cucunya setiap bulan selain menjual sayur-sayur kampung dua kali seminggu.

Tambahnya, ada kalanya dia terpaksa meninggalkan cucunya itu seorang diri di rumah kerana harus keluar mencari sayur kampung yang dikutipnya di kawasan paya serta kebun berhampiran.

“Suami saya pun uzur serta tak boleh berjalan tapi diuruskan anak di Kuala Lumpur kerana perlu masuk ke hospital dan sebagainya,” katanya.

Ujar Wan Rosnani, dia ber­syukur kerana ada ramai pihak yang membantunya termasuk kepimpinan setempat sejak dia menjaga cucunya itu semenjak kecil.

“Terima kasih kepada pihak yang membantu kami lebih-lebih lagi ketika saya sudah tua untuk mengangkat Anje seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Zarina berkata, sumbangan itu sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat pihaknya untuk membantu meringankan beban individu memerlukan.

“Kita rancang memberi papan gelongsor itu sebaik mendapat tahu mengenai kesusahan dihadapi Wan Rosnani tiga bulan lalu da­ripada sukarelawan JKM,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Wan Rosnani di nombor 0540041000061025 atau menghubunginya di talian 017-881 7756.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI