Haruan palas yang berjaya saya pancing untuk dimasukkan di dalam rekod inventori (kiri). Ikan keli limbat yang saya pancing menggunakan umpan cacing tanah (kanan).

Haruan palas, khazanah ikan asli tidak ternilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM  inventori sumber perikanan darat siri 2/2025 telah diadakan selama tiga hari bertujuan mengenal pasti spesies ikan yang terdapat di kawasan Sungai Senoi, Kampung Tonggang, Ulu Kinta, Perak.
Inventori ini juga dijalankan sebagai asas kepada pembangunan santuari perikanan darat, dan untuk memahami kepelbagaian spesies ikan yang masih bertahan di tengah-tengah tekanan pembangunan serta  pencemaran.
Saya telah dihubungi oleh Puan Atiqah selaku Ketua Daerah Perikanan Kinta & Kampar (KDP) untuk membantu pasukan Inventori Sumber Perikanan, Pejabat Perikanan Perak dan Global Environment Centre (GEC) untuk turut sama dalam program tersebut.
Beliau memerlukan khidmat saya sebagai pemancing untuk mencari spesies ikan yang mungkin tidak dapat diperolehi menggunakan kaedah seperti menjaring atau menjala. Peluang yang datang ini tidak mungkin saya lepaskan.
Haruan palas
Sejak menerima jemputan, saya telah set di dalam minda untuk mencari spesies ikan haruan palas (Channa melasoma) kerana saya sendiri tidak pernah dapat ikan
ini.
Saya telah ditemani jurupandu arah (guide) kaum Orang Asli iaitu Zaim yang banyak membantu saya mencari lubuk-lubuk ikan di sekitar Sungai Senoi. Lubuk pertama kami cuba tidak membuahkan hasil, walaupun pelbagai teknik dan umpan telah saya labuhkan. Mungkin keadaan air yang jernih membuatkan ikan menjadi culas.
Sungai Senoi di Kampung Tonggang mempunyai landskap yang sangat menarik.
Saya bertanya kepada Zaim sekiranya terdapat lubuk-lubuk sekitar kawasan berkenaan yang mungkin lebih produktif. Dia memaklumkan terdapat satu anak sungai yang dikatakan ada ikan keli limbat (Clarias nieuhofii).
Tanpa berlengah, saya terus mengajaknya ke lubuk berkenaan kerana lazimnya ia galak mengambil umpan cacing. Sampai sahaja, saya dapat melihat beberapa ekor ikan menyerupai haruan berlegar-legar. Pada mulanya, saya menyangka itu adalah ikan haruan biasa (Channa striata).
Gewang soft plastic yang saya hulurkan pantas dibaham ikan tersebut dan apabila naik, saya mendapati warna pada badannya agak berlainan daripada haruan biasa. Hasil semakan pasukan inventori telah mengesahkan ia adalah spesies haruan palas.
Gembiranya hati ini apabila niat asal untuk mencari haruan palas
telah berjaya. Saya terus memancing dan berjaya mendapat dua ekor
lagi ikan yang sama dan seekor keli limbat.
Laporan inventori
Sepanjang tiga hari program dijalankan, kami telah berjaya mengambil rekod sembilan spesies ikan tempatan yang terdapat di sungai ini iaitu tengas, baung, selimang batu, sebarau, tebal sisik, sia, seluang pipih, keli limbat dan haruan palas.
Bagaimanapun, jumlah spesies ikan yang berjaya direkodkan ini masih dianggap kurang berbanding sungai-sungai lain. Kajian lanjut akan dijalankan oleh Pejabat Pe­rikanan Perak bagi mengenal pasti punca kekurangan ikan di sungai ini.
Saya telah dimaklumkan bahawa haruan palas yang telah dipancing oleh saya akan dipamerkan di Perak Agrofest 2025 bertempat di Ladang Infoternak, Sungai Siput pada 26 hingga 28 September nanti.
Anda bolehlah berkunjung ke situ sekiranya ingin mengenali lebih lanjut akan spesies ikan snakehead asli yang sangat menarik ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN