KUALA LANGAT – Gara-gara tidak berpuas hati selepas bercerai dipercayai punca seorang lelaki warga Indonesia menikam bekas isterinya dalam kejadian di Jalan Redan Kanchong Darat di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa yang juga warga Indonesia berusia 44 tahun cedera di perut kiri akibat ditikam menggunakan pisau.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, tindakan suspek berusia 45 tahun tersebut juga dipengaruhi dengan tuduhan suspek terhadap majikan mangsa yang telah menghasut bekas isterinya untuk rujuk semula.
Katanya, suspek telah menggunakan pisau bagi menikam bahagian perut kiri bekas isterinya sebanyak sekali.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut dengan hasil pemeriksaan mendapati berlaku pendarahan dalaman.
“Motif kejadian adalah suspek tidak berpuas hati dengan mangsa setelah bercerai selain menuduh majikan mangsa menghasut mangsa untuk tidak merujuk semula hubungan sebagai suami isteri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, sejurus kejadian suspek dikatakan telah melarikan diri bersama sebilah pisau yang digunakannya itu.
Tegas Akmalrizal, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dilakukan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-31872222,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita cedera ditikam suaminya sendiri dalam kejadian di sekitar Kanchong Darat.
Mangsa kemudian diberikan rawatan awal petugas kesihatan di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutkan.
Kejadian tersebut tular di media sosial menerusi beberapa keping gambar dan video berkaitannya. – KOSMO! ONLINE