IMPIAN AHSSN Pahang Thunderbolts untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2002 tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada SSBJ Thunderbolts pada aksi final Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2025, malam kelmarin.
Skuad bimbingan Mohd. Sufian Mohamad itu mara ke final buat kali keenam, namun sekali lagi gagal menoktahkan penantian panjang selepas percubaan terdahulu pada final edisi 2017, 2018, 2019, 2022 dan 2023 juga berakhir hampa.
Bagaimanapun, Sufian tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang memberi tentangan sengit sehingga suku ketiga, malah berpeluang mengikat kedudukan menerusi pukulan sudut penalti sebelum percubaan itu sekadar singgah di tiang gol.
“Saya puas hati dengan aksi pemain kerana mereka berikan saingan yang sengit. Titik kebangkitan bila kita dapat pukulan sudur penalti tapi bola terkena tiang, kalau masuk mungkin jadi 1-1 dan bawa kita ke (penalti) shoot-out,” katanya.
Jurulatih itu mengakui dua gol terakhir SSBJ terhasil selepas belkau mengambil risiko menyerang habis-habisan pada penghujung permainan.
“Saya ambil risiko sebab sudah tiada apa yang dirugikan, jadi kita kena terima bila dihukum di minit akhir,” ujarnya.
Beliau tetap memuji semangat juang pemain mudanya, majoriti berusia antara 15 hingga 17 tahun yang buat kali pertama menjejakkan kaki ke MJHL hasil cetusan bakat sekolah sukan negeri Pahang.
Dalam masa sama, Sufian mendedahkan skuadnya kehilangan tujuh tonggak utama sebelum saingan bermula selepas ditawarkan tempat di SSTMI dan SSBJ, namun menganggapnya sebahagian daripada proses pembangunan pasukan.
“Kemarau kejuaraan masih belum tamat, tetapi kita akan terus berjuang dalam MJHL. Bagi saya, yang penting pemain dapat pengalaman kerana inilah asas untuk mereka wakili negeri dan negara pada masa depan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE