Insiden pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas sejurus berlepas dari Pengkalan Tentera Udara Kuantan malam Khamis lalu bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng.
Lebih-lebih lagi ia merupakan kejadian pertama melibatkan pesawat F/A-18 milik TUDM yang mula beroperasi sejak 1997 atau ketika usianya sudah mencecah 28 tahun.
Ironinya, insiden membabitkan pesawat itu berlaku pada saat negara sedang menantikan ketibaan pesawat F/A-18 terpakai dari Kuwait untuk menambah sengat pertahanan udara negara.
Dari sudut lain, ia seolah-olah bagaikan memberi satu isyarat kepada kita tentang risiko pengoperasian aset-aset udara yang semakin uzur dan dimamah usia.
Benar, kita masih belum mengetahui punca sebenar mengenai kejadian di Kuantan tempoh hari, malah semua 8 pesawat F/A-18 milik TUDM telah melalui program naik taraf di bawah projek Foreign Military Sales (FMS) kerajaan Amerika Amerika Syarikat melalui Engineering Change Proposal selain usaha dilakukan pihak pembuat pesawat itu sendiri ketika aset itu menghampiri usia 20 tahun.
Namun, persoalan mengenai keusangan teknologi, struktur selain beban penyelenggaraan akan terus bermain dalam fikiran, lebih-lebih lagi ketika kita kini sedang menanti untuk mengoperasikan lebih 30 buah pesawat F/A-18 Hornet bekas tentera udara Kuwait.
Kita sedar pembelian pesawat F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait hanya untuk mengisi keperluan segera TUDM dan ia bukanlah satu bentuk penyelesaian jangka panjang, tetapi insiden Kuantan seharusnya membuka mata dan menjadikan kita lebih berhati-hati serta lebih teliti terhadap pengunaan aset-aset udara yang telah lanjut usia.
Pembelian 18 buah pesawat pejuang ringan baharu FA-50M dari Korea Selatan yang dijangka diterima mulai 2026 mungkin memberi sedikit kelegaan, namun hakikatnya TUDM memerlukan pesawat pejuang baharu yang lebih canggih bukan sahaja untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh, malah lebih daripada itu kita tidak mahu merisikokan nyawa perwira-perwira udara kita.
Jadi pertimbangan kerajaan untuk membeli pesawat tempur generasi kelima dari Perancis, Amerika Syarikat dan Russia untuk menggantikan semua pesawat usang menjelang 2040 adalah satu langkah yang sangat dinantikan dalam usaha pemodenan pesawat TUDM.
Cuma sebelum sampai tahun 2040, kita nampaknya perlulah bergantung pesawat pejuang yang sudah berusia seperti F/A-18D dan Sukhoi Su-30MKM termasuk F/A-18 terpakai dari Kuwait jika dioperasikan kelak.
Tugas mencabar pastinya untuk memastikan semua pesawat itu sentiasa dalam keadaan bersedia dan selamat untuk diterbangkan sehinggalah pesawat baharu tiba kelak.
Kita faham, kekangan peruntukan menjadi asas penting kepada keputusan yang dibuat, namun harus diingat risiko kepada keselamatan wira-wira udara kita selain daripada keberkesanan operasi pertahanan negara juga seharusnya sentiasa menjadi keutamaan.
















