RANTAU PANJANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sebanyak 173.3 tan metrik beras dari Thailand ke Lembah Klang selepas menahan enam buah treler di Pasir Mas dan Tanah Merah dekat sini dalam tempoh dua minggu.
Enam buah treler yang membawa 3,467 guni beras bernilai RM665,763 termasuk jumlah cukai itu ditahan di kedua-dua daerah tersebut dalam beberapa serbuan berasingan bermula 29 Julai hingga 11 Ogos lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, siasatan awal mendapati, sindiket itu dikesan menggunakan taktik memindahkan beras dari bot ke lori kecil sebelum dibawa dengan treler dari kawasan pangkalan haram untuk dihantar ke Lembah Klang.
Menurutnya, serbuan pertama melibatkan rampasan beras seberat 23 tan metrik dengan nilai rampasan berjumlah RM62,100 di Kampung Nibong, Jalan Jakar, Bukit Bunga dekat Tanah Merah pada 29 Julai lalu.
“Selepas itu, sebanyak 45 tan metrik beras dirampas di Kampung Telaga Bijih ,Tanah Merah pada hari yang sama. Satu lagi serbuan di Tanah Merah dijalankan pada 5 Ogos lalu dengan merampas sebanyak 39.95 tan metrik beras di Kampung Belimbing.
“Serbuan keempat pada 6 Ogos dijalankan di Jalan Bukit Panau, Tanah Merah membabitkan rampasan beras sebanyak 40.30 tan dan 25.10 tan metrik beras dirampas di Jalan Bukit Tunku, Pasir Mas pada 11 Ogos lalu,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguat Kuasa JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, sepanjang tempoh itu, seramai enam pemandu termasuk kelindan ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk beras dan kenderaan yang digunakan dianggarkan bernilai RM2.04 juta. – KOSMO! ONLINE