KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap rakyat Malaysia menikmati kemajuan negara tanpa diskriminasi dengan memberi tumpuan kepada pemerataan agihan ekonomi berdasarkan keperluan sebenar rakyat, tanpa mengira kaum atau agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan memilih kasih dalam membela nasib rakyat. Sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli, atau bumiputera Sabah dan Sarawak semua rakyat akan dibantu dengan saksama tanpa mengira latar belakang mereka.
“Sejak mengemudi pentadbiran negara, Kerajaan Madani sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan rakyat dari segenap lapisan masyarakat. Inilah pendekatan baharu yang tidak lagi berlandaskan kaum semata-mata, tetapi lebih kepada pemerataan agihan ekonomi yang memberi keutamaan kepada keperluan sebenar rakyat,” ujar Anwar di Dewan Negara.
Menurut Anwar, Belanjawan 2025 menyaksikan kenaikan peruntukan terbesar dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan bantuan kos sara hidup. Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM64 bilion berbanding RM59 bilion pada tahun lalu, manakala Kementerian Kesihatan pula memperoleh tambahan RM4 bilion, meningkat daripada RM41 bilion kepada RM45 bilion.
Selain itu, bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut meningkat daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion, bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bantuan tunai seperti STR dan SARA sebahagian besarnya disalurkan kepada golongan Melayu, dengan jumlah sebanyak RM7.1 bilion. Selain itu, golongan anak Negeri Sabah dan bumiputera Sarawak turut menerima manfaat yang ketara, masing-masing sebanyak RM1 bilion dan RM0.8 bilion.
Kerajaan turut memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui beberapa inisiatif, termasuk Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan yang menyediakan jaminan sebanyak RM4 bilion kepada usahawan bumiputera. Skim Jaminan Kredit Perumahan pula menyediakan RM17.2 bilion khusus untuk bumiputera.
Melalui agenda PuTERA35, kerajaan komited untuk memperkasa bumiputera dengan strategi 3P, Penyertaan yang meluas, Pemilikan yang bermakna dan Penguasaan dalam sektor-sektor strategik. Projek pembangunan besar seperti Bandar Malaysia dan kawasan sekitar Lapangan Terbang Subang turut melibatkan penyertaan bumiputera.
Dalam pada itu, Anwar berkata, syarikat bumiputera dijangka lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui strategi perlumbaan relay, yang memberi peluang kepada usahawan daripada peringkat syarikat kecil hingga menjadi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
“Kita juga menyasarkan untuk melahirkan 10 jaguh bumiputera dalam rantaian bekalan dengan nilai syarikat lebih RM500 juta, bagi memastikan mereka bersaing di peringkat global.
“Melalui langkah-langkah ini, Kerajaan berusaha untuk memastikan setiap lapisan masyarakat merasai kemajuan negara. Ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka,” tambah Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE