fbpx
Gambar Hiasan

Guru stres layan kerenah ibu bapa di WhatsApp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI sebelum ini mengatakan kerjaya sebagai seorang guru adalah paling seronok kerana mempunyai banyak cuti dan boleh balik awal ke rumah.

Namun, disebalik ‘keseronokan’ itu, ramai tidak tahu sebenarnya kerjaya sebagai seorang guru kini lebih mencabar terutamanya dalam melayan karenah ibu bapa dan pelajar generasi kini.

Selain cabaran luaran itu, guru juga terpaksa menghadapi pelbagai tugasan lain di sekolah selain tugasan hakiki mereka sebagai mengajar anak bangsa.

Ini termasuklah tugasan pengkeranian serta aktiviti luar bilik darjah yang adakalanya menjadi beban sehingga ada guru terpaksa membuat pilihan untuk ‘pencen’ awal.

Bagi mengupas dan mendalami isu cabaran dan bebanan guru ketika ini, wartawan Kosmo! Ahad, Ahmad Shaherman Shamsuri berkesempatan menemu bual Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang baru-baru ini.

 

KOSMO! AHAD: Boleh tuan nyatakan apakah isu bebanan guru ketika ini. Adakah kekurangan guru atau bebanan kerja tambahan?
AMINUDDIN: Kedua-duanya menjadi faktor kepada isu bebanan tugas guru ini. Cuma kami melihat kerja-kerja tambahan guru lebih mempengaruhi isu.

Sebagaimana yang dikatakan tadi, bebanan kerja tambahan, atau dalam istilah yang NUTP gunakan ialah kerja-kerja yang tidak relevan dengan tugasan sebenar seorang guru merupakan antara faktor penyumbang sebenar kepada isu beban tugas guru ini.

Guru-guru banyak menghabiskan masa untuk melakukan kerja-kerja perkeranian memasukkan pelbagai data atau maklumat dalam macam-macam sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak. Ada daripada Kementerian Pendidikan (KPM), ada yang daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Mengapakah perkara ini sukar dibendung? Adakah ketika ini sudah ada penambahbaikan?
Kami melihat pihak Kementerian Pendidikan ada juga mengambil inisiatif mengurangkan bebanan tugas guru ini, tetapi kami melihat impaknya tidak ‘menjadi’ sebagaimana diharapkan.

Melalui cadangan daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) misalnya, Menteri Pendidikan pada awal 2023 mengumumkan beberapa inisiatif bersifat ‘quick wins’ pada masa tersebut.

Ia seperti memansuhkan sambutan majlis atau pertan­dingan yang tidak memberi impak kepada pelajaran, semakan terhadap Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dikurangkan kepada sekali setahun sahaja.

Untuk makluman, SKPM ini ialah instrumen penilaian kendiri yang digunakan untuk menilai dan memperbaiki kualiti pendi­dikan di sekolah.

Selain itu, waktu mengisi data kehadiran melalui sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dilanjutkan hingga pukul 12 te­ngah hari daripada pukul 10 pagi sebelum itu, pelantikan pengawas peperiksaan awam dibuka kepada individu bukan guru.

Sambutan Hari Guru pula dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja agar guru tidak perlu lagi menjadi ahli jawatankuasa sambutan di peringkat daerah dan negeri.

Selain itu, diringkaskan penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) kepada memenuhi elemen objektif, pengajaran dan refleksi sahaja dan guru diberikan autonomi untuk merancang pengajaran dan pembelajaran dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Bagaimanapun, kita dapati inisiatif-inisiatif tersebut tidak disambut oleh pihak-pihak berkaitan di peringkat bawah hingga kita dapati ia tidak memberikan impak sepatutnya.

KATA Aminuddin, melayan kerenah ibu bapa dalam grup WhatsApp beri tekanan kepada guru.

Mungkin pihak NUTP ada cadangan atau inisiatif untuk mengurangkan isu ini?
Kami berpandangan bahawa usaha untuk mengurangkan bebanan tugas guru ini perlu dilakukan secara komprehensif dan berskala besar dan tidak secara cebisan-cebisan isu.
Penyelesaiannya tidak mungkin berlaku dalam tempoh singkat dan memerlukan peranca­ngan rapi secara berfasa.

Contohnya ada fasa segera, fasa jangka sederhana dan fasa jangka panjang. Sebab itulah pihak NUTP mencadangkan kepada kerajaan agar menubuhkan segera Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru.

Mengapa Jawatankuasa Khas sangat perlu? Ini kerana Jawatankuasa Khas mempunyai akses untuk mendapatkan input secara langsung, input yang sahih, input yang mereka sendiri dapat lihat dan rasa melalui sesi turun padang mereka ke seluruh negara.

Sebagai contoh, jika capaian internet perlahan di sekolah menjadi antara permasalahan guru gagal memasukkan pelbagai data walaupun secara dokumennya kelajuannya tinggi hingga 300Mbbs, maka Jawatankuasa Khas boleh mencuba sendiri tahap kelajuannya secara langsung.

Sebab itu, bagi kami penubuhan Jawatankuasa Khas ini amat perlu kerana perakuan-perakuannya nanti merupakan hasil dapatan melalui turun padang mereka dan sudah pasti perakuan-perakuan mereka nanti juga perlu dibahagikan kepada fasa-fasa tertentu untuk diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan ke arah mengurangkan beban tugas guru.

Boleh tuan kongsikan berapa ramai guru yang bersara awal daripada tempoh yang sepatutnya?
Secara keseluruhannya, kita dapati bahawa jumlah guru yang bersara pilihan (bersara awal) dengan jumlah guru yang bersara paksa (bersara wajib) adalah hampir sama jumlahnya.
Kami belum ada data untuk tahun 2025, tetapi setakat Oktober 2024, terdapat 4,382 orang guru yang bersara awal.

Sedangkan pada tahun 2023 jumlahnya seramai 6,394 orang. Penurunan tersebut bukan disebabkan guru sudah berpuas hati dengan usaha-usaha KPM ke arah mengurangkan beban tugas.
Kami melihat ia lebih kepada guru-guru yang ingin bersara awal ini ingin menunggu pelarasan gaji sebanyak lapan peratus pada Disember 2024 dan tujuh peratus pada Januari 2026.

Sejak awal tahun 2025 ini, kami juga banyak menerima aduan daripada guru-guru yang ingin bersara awal bahawa tahap kesukaran untuk mendapat kelulusan bersara awal sudah tinggi, ramai yang gagal dalam permohonan bersara awal atau permohonan tidak diluluskan pihak KPM.

Kami tidak menyalahkan pihak KPM dalam isu ini kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa pengaliran keluar guru-guru berpengalaman ini perlu dihadkan bagi memastikan ada keseimbangan dalam sistem pendidikan kita, antara guru baru dan guru yang berpengalaman wujud sempurna.

Mungkin tuan boleh berkongsi kenapa guru-guru terbabit memilih bersara awal?
Daripada kajian serta tinjauan kami, faktor utama adalah beban tugas guru zaman kini yang ­keterlaluan dengan pengisian pelbagai data dalam pelbagai medium sistem online atau pelbagai platform yang diwujudkan.

Mereka juga bersara awal ke­rana sudah kurang minat dengan profesion ini dan juga tertekan dengan pihak pentadbiran serta kerenah ibu bapa dan murid-murid zaman kini.
Dengan kata lain, dua-dua faktor tersebut ada hubung kait dengan isu beban tugas guru.

Selain itu, ada juga disebabkan faktor kesihatan, faktor keluarga dan disebabkan mereka telah membuat perancangan awal lagi untuk bersara awal disebabkan sudah selesa dengan kadar pencen yang bakal diterima lantaran sudah lebih 30 tahun berkhidmat dan berada dalam gred jawatan yang selesa.

Adakah disebabkan masalah di peringkat pengurusan atau cabaran di sekolah berkaitan pelajar yang mendorong mereka bersara awal?
Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, ramai juga guru bersara awal disebabkan tertekan dengan gaya pentadbiran atau pengurusan di sekolah masing-masing.
Sebab itulah kita mengharapkan pentadbir sekolah agar lebih bijak dalam membuat agihan tugas dan lebihkan budi bicara dalam gaya kepimpinan mereka.

Daripada hampir 10,300 buah sekolah di negara kita, sebahagian besarnya merupakan pentadbir yang sangat profesional dan baki sebahagian kecil lagi tersebut perlu membuat penambahbaikan dalam gaya pengurusan agar jumlah guru yang bersara awal disebabkan tertekan de­ngan pihak pentadbir sekolah dapat dikurangkan.

Bagi guru-guru di sekolah menengah, kerenah sebahagian kecil murid-murid zaman kini yang sukar dikawal dalam aspek disiplin dan tingkah lakunya juga memberikan tekanan kepada guru-guru.

Banyak kekangan terpaksa guru-guru hadapi dalam mendisiplinkan murid-murid yang jika tersilap langkah, mereka bakal berhadapan tindakan undang-undang daripada ibu bapa.

Tambahan pula, zaman wujudnya media sosial sekarang ini menyebabkan guru-guru terpaksa melayan kerenah dan pelbagai permintaan dan pertanyaan ibu bapa dalam group WhatsApp hingga larut malam.

Bukan itu sahaja, arahan tugasan daripada pihak atasan juga datang tanpa had masa dengan adanya grup-grup ­WhatsApp ini.


PELAJAR yang berjaya lahir daripada guru-guru yang dedikasi dan tekun dalam mencurahkan bakti dengan memberi ilmu dengan ikhlas. – GAMBAR HIASAN

Apakah langkah-langkah untuk mengurangkan perkara-perkara ini kerana ia akan me­rugikan institusi pendidikan?
Dalam mendisiplinkan murid dan pada masa sama guru tidak stres dengan kekangan dalam melaksanakan prosesnya, NUTP berpandangan banyak surat pekeliling ikhtisas Kementerian Pendidikan yang perlu di­semak semula bagi memberikan lebih ruang kepada guru dalam mendisiplinkan murid tanpa terlalu banyak pantang larang.

Contohnya Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959; Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran; SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah; SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin; SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan lain-lain.

NUTP juga ingin menca­dangkan agar pihak Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan khas berkaitan penggunaan media sosial dalam memberikan arahan tugasan kepada guru-guru.

Kita mahu guru-guru tidak diberikan arahan atau tugasan melalui medium media sosial di luar waktu sepatutnya, contohnya waktu malam, kecuali bagi kes-kes bersifat memerlukan tindakan segera atau kecemasan.

Adakah ketika ini jawatan perguruan ketika ini mencukupi? Jika tidak, berapa jumlah yang diperlukan?
Kami difahamkan hingga Jun lalu, pengisian guru bagi semua sekolah di seluruh negara adalah sebanyak 96.62 peratus daripada kelayakan sepatutnya.

Kekurangan paling ketara di pedalaman ialah subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Pendidikan Islam.

Permasalahan sekarang ha­nyalah penempatan guru-guru tersebut tidak berdasarkan ke­perluan sebenarnya opsyen yang diperlukan sekolah. Dalam hal ini, ramai guru terpaksa me­ngajar subjek yang bukan opsyen pengajian mereka.

Bagaimanapun pihak kami amat menghargai usaha KPM yang cuba juga memenuhi bila­ngan ‘body’ guru dalam sesebuah sekolah walaupun tidak sepadan dengan keperluan opsyen sebenar. Sekurang-kurangnya beban tugasan mengajar bagi seseorang guru dapat diringankan.

Guru mata pelajaran manakah yang tidak mencukupi ketika ini?
Kami tidak mempunyai data tepat berkaitan perkara ini kerana maklumat sebenar, terkini dan tepat ada di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN