PETALING JAYA – “Saya hanya mampu berdoa semoga ibu arwah kuat dan tabah menerima takdir ini.”
Demikian kata jiran kanak-kanak yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara di sini pada Khamis lalu.
Individu tersebut yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas diberitahu jiran lain yang melihat mangsa tidak sedarkan diri di tingkat bawah blok tersebut.
“Saya terkejut apabila dengar berita ini. Tingkap memang ada jeriji, tapi mungkin ketika kejadian tiada siapa sedar bagaimana dia boleh terjatuh.
“Rasa luluh hati bila dengar, apatah lagi membayangkan perasaan si ibu yang kehilangan anak kecil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 4.42 petang. – KOSMO! ONLINE