PENEMUAN ikan spesies baharu yang dinamakan Rogadius azizahae oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuktikan bahawa banyak rahsia yang tersimpan di dasar laut negara.
Malah, penemuan ini juga menambah satu lagi khazanah biodiversiti negara yang kini direkodkan di pentas dunia.
Penemuan spesies baharu ikan Rogadius azizahae di perairan Laut China Selatan itu menjadi antara berita hangat yang diperkatakan media baru-baru ini.
Penyelidik yang berjaya menemui spesies ikan baharu tersebut tidak lain tidak bukan ialah Dr. Tun Nurul Aimi Mat Jaafar yang berkhidmat di Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur UMT, Kuala Terengganu.
Berbicara dengan K-Wanita, Tun Nurul Aimi memberitahu, ikan tersebut sebenarnya telah ditemui pada 2016 di luar pesisir pantai Terengganu dan Johor.
“Pada ketika itu saya menyertai Ekspedisi Saintifik Sumber Perikanan Demersal Zon Ekonomi Eksklusif Pantai Timur bersama Jabatan Perikanan Malaysia.
“Dalam ekspedisi ini, kaedah pukat tunda digunakan untuk melihat sumber perikanan demersal yang berada di dasar laut,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, ketika itu dia mengutip semua ikan marin untuk tujuan dokumentasi. Kemudian, dia bersama rakan sepasukan taksonomi ikan marin UMT mengenal pasti spesies menggunakan kaedah morfologi dengan pemerhatian ciri-ciri luaran ikan.
Ternyata, setelah hampir sedekad penemuan, akhirnya ia disahkan sebagai ikan spesies baharu yang dinamakan Rogadius azizahae setelah melalui proses analisis panjang termasuk menggunakan kaedah genetik untuk pengesahan.
Jelasnya, spesies ikan yang ditemuinya daripada keluarga flathead itu juga telah mendapat pengiktirafan daripada ZooBank, iaitu pangkalan data rasmi antarabangsa yang mengesahkan penamaan spesies baharu sebelum diterbitkan di Journal of Fish Biology pada 4 Ogos baru-baru ini.
Spesimen holoytype dan paratype Rogadius azizahae telah disimpan di Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan, UMT.
Menurutnya, tiga spesimen ikan itu ditemui pada kedalaman antara 53 hingga 58 meter ketika ekspedisi pelayaran tersebut.
MENYENTUH mengenai ciri-ciri ikan tersebut, Rogadius azizahae atau nama tempatannya baji Azizah adalah bersaiz kecil dengan panjang antara 10 hingga 11 sentimeter, memiliki corak halus gelap pada sirip pelvis serta putih lut sinar di bahagian tengah.
“Ia merupakan spesies ikan dasar laut yang sukar dikesan, ini kerana bentuknya yang leper dan warna tubuh yang perang menyerupai dasar laut,” ujar Tun Nurul Aimi.
Mengulas lanjut, Tun Nurul Aimi berkata, nama saintifik Rogadius azizahae diabadikan sebagai penghargaan kepada felo penyelidik utama UMT, Prof. Dr. Siti Azizah Mohd. Nor yang telah banyak berjasa kepada bidang ekologi molekul dan pemuliharaan biodiversiti ikan di Malaysia.
“Beliau banyak terlibat dengan kajian-kajian berkaitan ekologi molekul, sama ada untuk melihat populasi atau spesies ikan.
“Selain itu, beliau banyak mendapat geran dari dalam dan luar negara untuk buat kajian-kajian sebegini dan banyak melahirkan ramai penyelidik dalam bidang yang sama dan ini adalah satu tanda penghargaan kepada beliau,” jelasnya.

Dedahnya, meskipun dijumpai pada 2016, Tun Nurul Aimi mengambil masa yang agak lama untuk mengesahkan sebagai spesies ikan baharu kerana ketika penemuan ikan tersebut dia merupakan pensyarah baharu di UMT pada ketika itu.
“Jadi, pada waktu itu saya tiada ‘funding’ untuk melakukan ujian genetik ataupun pengesahan DNA terhadap ikan ini.
“Untuk melakukan ujian genetik ini ia memerlukan sejumlah pembiayaan yang agak tinggi, tetapi beberapa tahun selepas itu Prof. Dr. Siti Azizah yang menawarkan saya pembiayaan untuk saya melakukan ujian genetik terhadap ikan tersebut,” terang anak kelahiran Perak itu.
Setelah ujian genetik dan morfologi dilakukan, dia mendapati ikan tersebut berbeza dengan spesies-spesies ikan lain yang mereka rekodkan.
Kemudian dia meminta kerjasama kumpulan pakar taksonomi ikan dari Jepun yang dapat mengklasifikasikan dan menamakan ikan berdasarkan ciri-ciri biologi kerana mereka mempunyai keupayaan untuk mencari ‘holotype’ atau spesimen rujukan utama di serata dunia.
Hasil kerjasama tersebut membolehkan pihak UMT untuk mengesahkan Rogadius azizahae adalah spesies ikan baharu.
Mengulas penglibatannya dalam penyelidikan hidupan marin, Tun Nurul Aimi menjelaskan, dia merupakan graduan UMT sendiri dan mengambil bidang akuakultur sewaktu menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
Selepas tamat pengajian dia ditawarkan untuk menjadi tutor di universiti tersebut.
“Apabila menjadi tutor saya mendapat biasiswa daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di bawah Skim Latihan Akademik Bumiputera untuk menjadi pensyarah.
“Saya mendapat peluang untuk sambung belajar dalam ekologi molekul di Universiti Bangor di United Kingdom selama tiga tahun,” terangnya.
Tambahnya, apabila pulang ke tanah air dia meneruskan khidmat di UMT dan sejak itu dia melakukan penyelidikan berkaitan ikan berdasarkan bidang kepakarannya.
Malah, dia juga telah menghasilkan banyak jurnal terutama berkaitan struktur genetik populasi ikan-ikan komersial.

Dia mengkaji kepelbagaian genetik ikan-ikan komersial sama ada masih boleh bertahan untuk beberapa tahun akan datang atau populasinya semakin merosot.
Apabila berlaku ancaman perubahan iklim seperti suhu global, gangguan musim dan corak cuaca, ada ikan-ikan komersial ini yang tidak boleh bertahan dan populasinya semakin berkurang.
“Saya bersama rakan sepasukan juga suka pergi ke pasar-pasar dan jeti pendaratan ikan untuk merekodkan spesies-spesies ikan yang ada di Malaysia sebelum ia pupus tanpa orang sedar.
“Bulan depan kami akan ke pasar ikan di Sabak Bernam, Selangor untuk tujuan merekod ikan-ikan yang ada di situ untuk penyelidikan,” katanya.
Sebagai ibu kepada dua cahaya mata, Tun Nurul Aimi menjelaskan, dia berdepan cabaran tersendiri untuk melakukan penyelidikan. Mengutip sampel-sampel ikan untuk dikaji juga mengambil masa yang lama.
“Ada saya menyertai ekspedisi selama seminggu untuk tujuan ini dan perlu meninggalkan anak-anak bersama suami.
“Tetapi suami saya banyak memberi sokongan kepada saya dan dia banyak berkorban untuk menjaga anak,” jelasnya.
Dalam pada itu, jelas Tun Nurul Aimi, ibu bapanya memainkan peranan dalam kejayaan yang dicapainya pada ketika ini.
Bapanya banyak memberikan motivasi kepada dirinya terutama untuk meneruskan pengajian dalam bidang akuakultur.
“Pada ketika itu saya tidak tahu tentang apa itu akuakultur dan ia bukan pilihan utama saya untuk menyambung pengajian dan diri merasa ‘down’.
“Tetapi ayah saya memberi motivasi dan mengatakan bidang ini penting untuk keterjaminan makanan negara dan saya mempunyai masa hadapan yang cerah jika mengambil bidang ini.
“Apa yang ayah saya katakan itu benar dan saya kini berada di landasan yang betul untuk kerjaya saya,” katanya.
















