fbpx
Amir ketika dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Kakitangan JAIS didakwa rasuah bayaran kompaun halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang pembantu hal ehwal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah mengurangkan bayaran kompaun sebuah syarikat disiasat bahagian pengurusan halal, dua tahun lalu.

Tertuduh, Amir Zubir, 45, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan termasuk pilihan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Amir didakwa sebagai Pembantu Hal Ehwal Bahagian Pengurusan Halal JAIS didakwa telah secara rasuah menerima RM8,000 daripada seorang pemilik sebuah syarikat melalui akaun miliknya.

Ia sebagai dorongan mengurangkan bayaran kompaun terhadap syarikat itu yang sedang disiasat bahagian berkenaan.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga didakwa pertuduhan pilihan atas kesalahan sama mengikut Seksyen 165 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu dibuat di cawangan sebuah bank di Sungai Besar pada 18 Januari 2023.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM15,000 bersama syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM setiap awal bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Swinder Singh mewakili tertuduh dalam mitigasinya memohon jaminan rendah dengan anak guamnya telah 25 tahun berkhidmat di JAIS selain merupakan penanggung tunggal kepada isteri dan tiga orang anaknya serta ibunya berusia 75 tahun yang telah uzur.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan. Sebutan semula 24 September depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI