JOHOR BAHRU – Kanak-kanak yang menjadi mangsa buli sehingga mengalami gegaran otak, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, teruja untuk kembali bersekolah.
Ibunya, Siti Suhana Misdi, 40, berkata, ini kerana anaknya sudah lama bercuti sejak 8 Ogos lalu selepas dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini.
Bagaimanapun, katanya, Izzul Islam masih trauma ekoran kejadian buli tersebut seperti kerap menangis ketika tidur dan mengigau.
“Sejak kejadian ini tular, dia masih belum bersekolah kerana berada di hospital sehingga kelmarin, tetapi Izzul beritahu dia tak sabar untuk kembali ke sekolah.
“Ini kerana dia mempunyai dua rakan karib. Mereka bertiga sentiasa bersama ke mana-mana sahaja. Semasa kejadian buli itu berlaku, dua rakannya turut membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Universiti, di sini hari ini.
Menurut suri rumah itu, walaupun anak keempatnya itu enggan memberitahu perasaan sebenar yang dialaminya, namun dia percaya anaknya trauma.
“Izzul memang tidak mahu beritahu sama ada dia trauma atau tak sihat sebab dia mahu ke sekolah. Tapi saya tahu keadaannya, selain kerap menangis dia juga mudah terasa berbanding dahulu.
“Dia juga lebih suka menyendiri berbanding bermain bersama adik-beradiknya. Jadi saya akan lihat kesesuaian untuk dia kembali bersekolah, dijangka bulan depan,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Suhana berkata, dia akan meneruskan hasrat mengambil tindakan terhadap pesalah yang membuli anaknya.- KOSMO! ONLINE.