PETALING JAYA – Pelakon Anna Jobling meraih perhatian antarabangsa apabila tercalon dalam kategori Outstanding Asian Star (Bintang Paling Menyerlah) mewakili Malaysia dalam pada acara Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 yang berlangsung pada 2 Oktober depan.
Anna atau nama penuhnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, bersyukur watak Nur Cahaya dalam drama bersiri TV3, Hai Cinta, Dengarkanlah memberi impak besar, sekali gus pencalonan itu membawa makna terhadap dirinya dan seluruh produksi.
“Saya benar-benar terkejut dan terharu. Ini satu penghormatan besar, bukan sahaja untuk saya malah pasukan Hai Cinta, Dengarkanlah.
“Sokongan keluarga, rakan sepasukan dan peminat menjadi inspirasi saya. Saya berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia,” katanya.
Aktres itu berkata, pencalonan di majlis pengiktirafan di Korea Selatan itu juga bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya peluang mengangkat nama negara ke pentas antarabangsa.
“Saya sangat berterima kasih dengan pengiktirafan ini yang juga kebanggaan buat diri saya, Malaysia dan TV3 yang sentiasa mendukung karya seni tempatan.
“Saya akan sentiasa lakukan yang terbaik dalam kerjaya untuk membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Anugerah SDA 2025 yang akan diadakan di Yeouido KBS Hall, Seoul, merupakan acara berprestij yang menghimpunkan ramai bintang terkemuka Asia.
Tahun ini, Anna bakal bersaing dengan pelakon dari Korea Selatan, Jepun, China, Thailand, Filipina dan beberapa negara serantau lain.
Pemilihan pemenang dalam setiap kategori pula ditentukan menerusi undian global peminat melalui aplikasi IDOL CHAMP.
Tahun lalu, Malaysia mencatat sejarah apabila pelakon Siti Saleha diumumkan sebagai penerima trofi dalam kategori sama. – KOSMO! ONLINE