BINTANG pecut muda negara, Danish Iftikhar Roslee berpeluang menguji potensi sebenarnya apabila turun beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun (B20) di Eugene, Amerika Syarikat (AS) pada Ogos depan.
Ini disebabkan Danish, 19, berkemungkinan besar bakal membuat perhitungan dengan bintang meningkat naik Australia, Gout Gout yang kini dilabel sebagai jelmaan Usain Bolt.
Gout, 18, mendapat gelaran itu selepas dia mengejutkan dunia olahraga dengan larian bersahaja memecahkan rekod 200 meter (m) dunia untuk kategori 16 tahun kepunyaan Bolt pada 2024.
Dia mencatat masa 20.04 saat (s), mengatasi rekod 200m B16 milik Bolt, 20.13s.
Catatan itu turut membolehkan Gout mengukir sejarah tersendiri apabila turut memecahkan rekod 200m benua Oceania milik Peter Norman yang selama ini bertahan sejak 1968.
Menariknya, Gout yang dilahirkan di Queensland oleh pasangan suami isteri dari Sudan Selatan ini memperbaharui catatan 200m tersebut, 20.02 pada tahun lepas.
Terbaharu, Gout terus menjadi tajuk-tajuk berita apabila merakam masa 10.00s untuk acara 100m sekali gus menjadikan dia pilihan utama untuk merangkul emas berganda di Kejohanan Olahraga Dunia B20 nanti.
Pada edisi 2024, Gout hanya mengambil bahagian untuk acara 200m yang mana dia meraih pingat perak dengan masa 20.60s, tewas kepada raja pecut ketika itu dari Afrika Selatan, Bayanda Walaza.
Oleh sebab itu, saingan di Eugene nanti mampu memberikan pengalaman yang cukup berharga buat Danish yang masih segar dengan kejayaan pingat gangsa 100m dan 200m Sukan SEA Thailand 2025.
Tidak mustahil penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini mampu mengulangi cerita indah seperti dilakukan raja pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sewaktu bersaing dalam edisi 2022.
Ketika itu, Azeem mencipta rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s dan hampir-hampir berjaya menaiki podium apabila meraih tempat kelima aksi final.
Danish tidak perlu berasa tertekan, sebaliknya hanya perlu nikmati persaingan kompetitif itu yang mana secara tidak langsung akan membantu perkembangannya.
Buat masa ini, rekod peribadi Danish untuk acara 100m adalah 10.18s dan bagi acara 200m, atlet dari Johor ini adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 20.73s.
2026 boleh dikatakan tahun yang agak padat buat Danish yang kini dalam tahun terakhir pengajian diploma di UPSI selain perlu menyertai beberapa kejohanan besar.
Selain Kejohanan Olahraga Dunia B20, Danish juga dijadualkan menghadapi Sukan Komanwel Glasgow (Julai) dan Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September serta Sukan Universiti ASEAN (AUG) penghujung tahun nanti.
Bagi saingan di peringkat domestik, Danish juga masih boleh bersaing di Sukan Malaysia (Sukma) Selangor dan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SukIPT).














