fbpx
Ka Siong (kiri) bertemu dengan pelajar OKU, Chin Hong (dua dari kanan) di Ayer Hitam baru-baru ini.

Pelajar OKU Chin Hong, Aniq telah dapat tawaran universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelajar orang kurang upaya (OKU), Lim Chin Hong yang kehilangan kaki kanan, namun memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 telah menerima tawaran daripada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melanjutkan pengajian.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pelajar OKU Aniq yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.83, tetapi tidak dibenarkan memohon penempatan di universiti awam (UA) disebabkan autisme dialaminya juga mendapat tawaran yang sama.

Kata beliau, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) institusi pertama tampil menawarkan tempat dalam kursus pilihannya beserta biasiswa penuh kepada Chin Hong.

“Keesokan hari, Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) dan Universiti UCSI turut menzahirkan hasrat yang sama, manakala sebuah lagi organisasi serta seorang dermawan dari Singapura turut berjanji untuk menanggung sepenuhnya perbelanjaan pendidikannya.

“Universiti UCSI juga membuat tawaran yang sama kepada Aniq, seorang pelajar austisme yang berjaya mendapat PGNK 3.83,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, kisah Chin Hong dan Aniq memberi mesej apabila rakyat bersatu mampu membuka pintu dan mengubah kehidupan seseorang dan beliau berterima kasih kepada semua universiti serta organisasi terbabit atas keprihatinan mereka.

Katanya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang semalam berjanji bahawa Chin Hong akan diberikan tempat dalam kursus pilihannya di UA.

“Ada yang bertanya mengapa saya tidak mendapatkan tempat untuknya di UTAR dan TAR UMT iaitu dua institusi diasaskan MCA. Hakikatnya, merekalah antara yang terawal membuat tawaran, namun cita-cita Chin Hong sejak dahulu untuk melanjutkan pengajian di UA.

“Saya sendiri akan menyampaikan tawaran ini kepada keluarganya dan menyerahkan kepada Chin Hong untuk menentukan laluan. Apa yang paling penting beliau kini mempunyai peluang dan sokongan untuk mengejar impiannya hasil daripada keprihatinan dan kebaikan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini tular mengenai Aniq yang dilaporkan memiliki PNGK matrikulasi 3.83 dan telah memenuhi syarat umum serta syarat khas program yang dipohon, namun gagal memasuki universiti kerana autisme.

Kisah mengenai permohonan Chin Hong untuk memasuki universiti ditolak kerana seorang OKU pula dibangkitkan oleh Ka Siong selepas beliau bertemu dengan pelajar tersebut di Ayer Hitam, Johor baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI