fbpx
POJIE meraih anugerah Budak Baru Nak Up E-sukan Terjago di Anugerah E-sukan Malaysia 2024 di Kuala Lumpur tahun lalu.

‘Jadi lalang’ rahsia Pojie tawan penonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM industri e-sukan, menjadi personaliti media yang dikenali bukan sekadar muncul di hadapan kamera atau mengulas perlawanan.

Peranan ini menuntut gabungan kemahiran komunikasi, pengetahuan mendalam tentang permainan, daya tarikan peribadi serta kebolehan membina hubungan erat dengan komuniti.

Bagi Muhammad Fauzi Ramli atau lebih dikenali sebagai Popopojie, segala pencapaian yang dikecapinya hari ini bukan datang bergolek.

Memegang peranan sebagai pengulas, hos, pereka kandungan dan streamer, lelaki berusia 33 tahun ini kini memiliki lebih 103,000 pengikut serta 2.8 juta tanda suka di platformnya.

Lebih membanggakan, anak kelahiran Perak tersebut pernah meraih anugerah Budak Baru Nak Up (BBNU) E-sukan Terjago di Anugerah E-sukan Malaysia 2024.

Katanya, kunci kejayaan seseorang individu adalah konsistensi, kesabaran serta memiliki karakter unik, sekali gus mendorong peningkatan pendapatan dari tahun ke tahun hasil daripada kerja keras dan reputasi yang dibina.

“Bukanlah syarikat pembangunan permainan video seperti Moonton tidak mahu memberi peluang pekerjaan kepada muka baharu, tetapi mereka perlu tunggu seseorang itu boleh mencapai tahap pengaruh yang mencukupi.

“Alhamdulillah, dahulu saya dapat bayaran RM600 setahun, dan sekarang, setelah empat tahun, saya mampu menjana wang mencecah puluhan ribu ringgit.

“Semua itu hasil konsistensi dan reputasi yang saya bina. Jenama (branding) saya adalah saya seorang lalang yang hanya menyokong pasukan menang,” katanya kepada K-Remaja.

Mengimbau kembali perjalanannya dalam dunia e-sukan pada tahun 2017, Muhammad Fauzi akui tidak berminat bermain permainan video dan hanya mengikuti kawan-kawan.

Namun, perasaannya berubah selepas menonton kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) dan Mobile Legends: Bang Bang Southeast Asia Cup (MSC).

Rasa kagum melihat pemain Malaysia berpeluang mewakili negara menyebabkannya bercita-cita mahu jadi pemain profesional sebelum beralih menjadi streamer.

Antara 2017 hingga 2020, Muhammad Fauzi menumpukan perhatian kepada streaming di Facebook Gaming dan berpeluang berkenalan dengan figura industri seperti Daddyhood.

Walaupun berusaha keras melakukan siaran langsung selama empat hingga lima jam sehari pada waktu malam, dia tetap gagal menjana pendapatan daripada minatnya itu.

“Pada waktu siang, saya bekerja sebagai penganalisis data. Jadi, saya ambil keputusan untuk melakukan streaming pada waktu malam sebagai permulaan membina nama.

“Namun, saya bukan sahaja tidak meraih pendapatan, malah membelanjakan RM11,000 hingga RM12,000 untuk skin Mobile Legends dalam tempoh dua tahun,” katanya yang juga mesra disapa Pojie.

Keadaan pandemik Covid-19 pada 2020 telah menyebabkan Muhammad Fauzi berhenti kerja dan berpindah ke Sabah bersama isterinya.

Dengan sekatan perjalanan dilaksanakan, bekas graduan Kolej Islam Antarabangsa itu aktif menghasilkan ulasan, kritik dan kandungan berkaitan pertandingan Mobile Legends: Bang Bang sehingga menjadi tular.

Dari situ, Muhammad Fauzi mula dikenali penganjur acara e-sukan dan dijemput menjadi pengulas sukan bagi penganjuran sukan kecil-kecilan sekali gus mula membina nama dalam industri.

Enggan selesa dengan peranan kecil, Muhammad Fauzi menghadiri kejohanan MPL tanpa tiket rasmi pada tahun 2022 dengan berpura-pura sebagai media.

POJIE
bersama rakan pengacara
di Kejohanan Dunia MLBB di Kuala Lumpur.

Peluang itu membolehkannya merakam video dan temu bual pemain, lalu menghasilkan video kritik mengenai isu dan penjenamaan pasukan yang menjadi viral.

Kandungan yang dihasilkannya menarik perhatian Moonton yang seterusnya menawarkannya menjadi pembuat kandungan rasmi MPL.

Dalam enam bulan, nasibnya berubah daripada tidak dikenali menjadi sebahagian acara besar MPL, menandakan pencapaian penting dalam karier e-sukannya.

“Saya diberi slot umumkan pemenang ‘Best Talent’ di majlis anugerah MPL. Masa itu pengikut di TikTok baru sekitar 11,000 hingga 15,000, jadi masih dianggap kecil. Tapi saya tetap dibayar.

“Selepas kejohanan, saya ada jurang tiga bulan tidak berpendapatan langsung, sekali gus buat saya risau nak cari income seterusnya,” katanya.

Muhammad Fauzi terus mencuri perhatian apabila menghasilkan video ringkas bersama selebriti Indonesia di Filipina sekali gus meraih lebih satu juta like dan view.

Pengalaman tersebut menyedarkannya bahawa kadang-kadang konten least effort memberi impak lebih besar, sambil menekankan kepentingan menikmati proses berkarya.

Kerjayanya berkembang bersama Moonton, bermula sebagai hos watch party pada Musim ke-13 dan ke-14, kemudian berpeluang menjadi wartawan lokasi dalam siaran langsung.

Kepuasan dirasai apabila dia berjaya membina karakter unik yang meninggalkan kesan kepada penonton.

Karakter ‘lalang’ dan kebolehan berbahasa Kemboja menarik perhatian penonton, menjadikan kehadirannya viral di TikTok.

“Saya dikenali dengan soalan ‘jahat’ atau kurang tapisan supaya dapat reaksi spontan daripada pemain tak kisah siapa pun mereka.

“Saya gabungkan gaya Pak Nil (Aznil Nawawi) yang mesra dengan Nabil Ahmad yang mulut ‘jahat’ tapi dalam konteks hiburan.

“Saya juga cuba elak disamakan dengan hos Filipina, Manjean Faldas, dengan mengubah penampilan iaitu ubah gaya rambut dan tambah koleksi sut,” terangnya.

Mengulas mengenai masa depan, Muhammad Fauzi bercadang untuk mencuba kerja di belakang tabir dalam bidang e-sukan seperti juruteknik bunyi, pengurusan hospitaliti, usher dan runner.

Ini kerana dirinya berminat untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh kru di belakang tabir dan kini sedang belajar bersama rakan untuk menjadi juruteknik bunyi.

Kongsi bekas pendebat kolej tersebut, dia juga mahu berkongsi ilmu dengan bakat-bakat baharu agar mereka mampu menyampaikan mesej dengan baik biarpun ‘pedas’.

“Sebenarnya banyak kerja dalam ekosistem e-sukan ini, jadi saya berminat untuk meneroka lebih banyak peluang untuk terus menyumbang dalam industri ini.

“Saya juga berminat untuk membuka satu akademi pembuatan kandungan secara umum untuk melatih bakat-bakat baharu berdasarkan pengalaman saya nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN