HOUSTON, TEXAS – Sepasang pempengaruh media sosial dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang merakam video mereka mencuba hidangan burger mini di sebuah restoran di Texas, lapor akhbar Metro UK.
Nina Unrated dan Patrick Blackwood sempat mengunyah beberapa suap burger ikan salmon apabila kaca berterbangan di hadapan mereka akibat rempuhan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di bandar Houston.
Mereka turut terjatuh dan cedera, manakala serpihan kaca melekat pada badan.
“Tanpa sebarang amaran, kaca berterbangan dan kereta itu melanggar betul-betul bersebelahan Patrick,” kata Nina.
Pemilik restoran memberitahu laman hiburan TMZ bahawa pemandu SUV tersebut tidak mengalami kecederaan.
Pihak berkuasa berkata, pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan ia merupakan kemalangan terpencil. – AGENSI