MELAKA – Taktik tiga tokan menjadikan sebuah unit kondominium mewah dan kereta sebagai ‘stor’ dadah terbongkar selepas mereka berusia 25 hingga 46 tahun diberkas bersama dadah bernilai RM4.16 juta dalam serbuan di Lembah Klang dan Melaka pada 13 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas kenderaan dinaiki dua suspek di pekarangan kondominium di Bukit Jalil dan 26.73 kilogram (kg) dadah ditemukan di dalamnya.
“Susulan itu pasukan membuat pemeriksaan di sebuah unit kondominium dan menemukan pelbagai jenis dadah termasuk 68.11kg ganja, 2.58kg bunga ganja, 42.23kg ketamin, 143 gram syabu serta 810 gram pil Erimin 5,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.
Katanya, serbuan kedua dilakukan di Ayer Molek dan seorang lelaki diberkas bersama-sama 18.25 kg heroin base yang disorok di dalam kereta dipandunya.
Secara keseluruhan polis merampas 94.84 kilogram ganja, 2.58 kilogram bunga ganja, 42.23 kilogram ketamin, 143 gram syabu, 810 gram pil Erimin 5 dan 18.25 kilogram heroin base.
“Kesemua rampasan bernilai RM4,163,704 itu mampu merosakkan hampir 2.82 juta individu jika terlepas ke pasaran. Polis turut menyita sebuah Toyota Estima bernilai RM70,000 serta merampas dua lagi kenderaan iaitu sebuah Perodua Myvi dan sebuah lagi Toyota Estima,” katanya. – KOSMO! ONLINE














