MELAKA – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman 72 tahun penjara dan 24 sebatan terhadap lelaki warga Singapura, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, selepas didapati bersalah membunuh isteri dan anak lelaki tirinya secara kejam, enam tahun lalu.
Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan keputusan itu diakhir kes pembelaan selepas meneliti hujah dikemukakan oleh pihak defendan dan plantif berhubung pemberat bagi hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta keterangan impak oleh adik, ibu dan kakak mangsa.
Beliau dalam penghakimannya berkata, berdasarkan laporan patologi dan keterangan sepupu tertuduh, tindakan mengerat serta membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza menunjukkan tertuduh tidak mahu identiti mangsa dikenal pasti.
Ujarnya, pihaknya turut mengambil kira perbuatan tertuduh meletakkan kepala mangsa di atas siling untuk mengelakkan bau dikesan serta membuang sebahagian tubuh mangsa di kawasan semak.
“Tidak diragui bahawa perbuatan tertuduh adalah sangat brutal apabila meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah. Namun, pindaan hukuman mati telah dibuat oleh pihak kerajaan pada 2023 dan saya menyifatkan situasi ‘nyawa dibalas nyawa’ tidak memberi justifikasi pada kes ini.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan serta bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan agar kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh ditangkap 11 Oktober 2019,” katanya.
Terdahulu, pihak pembelaan diwakili Peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi merayu agar hukuman anak guam mereka diringankan dengan menyatakan tertuduh telah insaf apabila tampil membuat pengakuan melakukan pembunuhan itu kepada keluarganya di Singpura sebelum dia ditangkap.
Pendakwaan dikendalikan Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan kemudian mengemukakan tiga rujukan kes yang mensabitkan hukuman gantung sampai mati termasuk kes Mahkamah Tinggi Melaka pada 2015, sebagai hujah pemberat.
“Mahkamah Tinggi Melaka telah menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh yang didapati bersalah membunuh anak tirinya berusia enam tahun dengan lebih 70 kesan kecederaan dan rayuan pada peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman itu.
“Mengambil kira keseriusan pertuduhan, faktor kepentingan awam, mangsa yang salah seorangnya adalah kanak-kanak berusia 11 tahun dan tahap kekejaman pembunuhan (18 kesan kecederaan terhadap mangsa wanita dan empat pada kanak-kanak), pendakwaan memohon agar hukuman gantung sampai mati dikenakan.
“Namun, jika hukuman pemenjaraan diberikan pendakwaan memohon ia dijalankan berasingan kerana ia membabitkan dua mangsa,” ujarnya.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap Norfazera Bidin, 27, dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, di sebuah rumah bernombor di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam di dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 6 petang pada 6 Oktober 2019 dan pukul 7.30 pagi pada 7 Oktober 2019.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dihukum minimum 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sepanjang prosiding berlangsung sejak 11 Jun 2020, seramai 26 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan telah dipanggil. -KOSMO! ONLINE.