KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penyanyi rap Caprice mengarkibkan (archive) semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah terhadap pempengaruh dan usahawan Asyraf Khalid dalam media sosialnya yang dimuat naik dalam Instagram.
Peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Muhammad Asyraf berkata Hakim Datuk Anand Ponnudurai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim (sementara) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Ashraf terhadap Caprice.
“Maknanya bermula hari ini, segala penerbitan yang dikeluarkan oleh defendan (Caprice) berkaitan atau merujuk kepada subjek atau topik melibatkan plaintif (Asyraf) hendaklah diarkibkan.
“Mahkamah telah membenarkan injunksi ad-interim terhadap defendan sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) yang akan didengar 2 September ini,” kata peguam itu ketika ditemui selepas selepas prosiding pendengaran injunksi ex-parte yang berlangsung dalam kamar.
Pada masa sama, peguam itu turut memaklumkan setakat ini Caprice masih belum memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab tuntutan saman tersebut.
Asyraf selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, yang dinamakan sebagai defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Ogos lalu.
Menurut peguamnya terdapat kenyataan fitnah yang diterbitkan di Instagram yang merujuk kepada video teaser (pra-penyiaran) yang akan diterbitkan anak guamnya.
Video teaser itu adalah menerusi poadcast (audio siar) yang mana hantaran berbaur fitnah itu diterbitkan sebanyak 31 kali menerusi platform defendan.
Terdahulu anak tiri kepada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu dalam satu sidang medianya memaklumkam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi Caprice susulan ‘serangan’ yang dilakukan terhadapnya dalam media sosial baru-baru ini.
Menurut Asyraf segala tuduhan yang dilemparkan berhubung temu bual audio siar dengan seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu memberi impak sehingga menganggu mental dan emosinya selain merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.
Kata Asyraf paling mengecewakan, kecaman netizen yang dilemparkan terhadapnya terlalu negatif sehingga digelar perogol, pedofilia dan juga serangan terhadap keluarganya.
Kontroversi itu berlaku apabila, Caprice menyelar tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu ke program audio siar tersebut.
Caprice berang apabila individu yang didakwa pernah melakukan ugutan terhadap dirinya dan keluarga diketengahkan dalam podcast tersebut.
Selain berkongsi semula beberapa foto kecederaan mangsa yang mendakwa dilakukan lelaki terbabit, Caprice berkongsi tangkap layar mesejnya dengan Asyraf.
Sebelum itu, netizen menyerang laman sosial Apa Cerita? Podcast selepas Asyraf memuat naik potongan klip pendek daripada video wawancara audio siarnya dengan wajah tetamu tersebut dikaburkan.
Perkongsiannya mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai yang mempersoal motif sebenar suami kepada pelakon Tya Ariffin itu mengundang individu terbabit sebagai tetamu program berkenaan. – KOSMO! ONLINE