GEORGE TOWN – Lima warga Iran termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan berasingan membabitkan kesalahan jenayah curi, dadah dan Akta Imigresen.
Bagaimanapun, pertuduhan-pertuduhan terhadap kesemua tertuduh iaitu Tarfi Ghader, 33, Fazeli Payam, 33, Dinarvand Siavash 28, Zahra Hasani, 39 dan Sara Ghiyas, 19, tidak dibacakan di mahkamah hari ini memandangkan kesemua mereka tidak faham Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Sehubungan itu, peguam yang mewakili kesemua tertuduh R. Thandayuthabany Pillay memohon agar jurubahasa bahasa Parsi dibawa ke mahkamah untuk membaca pertuduhan dan memohon sebutan semula kes-kes berkenaan pada tarikh lain.
Di Mahkamah Majistret 1, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin memohon agar kesemua tertuduh yang didakwa berkaitan Akta Imigresen tidak dibenarkan diikat jamin. Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin kemudiannya menetapkan tarikh 10 September ini untuk sebutan semula kes dan menunggu jurubahasa.
Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret 2, Tarfi, Fazeli dan Dinarvand berdepan dengan pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan. Majistret Muhammad Amzar Ismail kemudian menetapkan kes disebut semula pada tarikh sama, dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, kelima-lima tertuduh menghadapi pertuduhan memiliki dadah, namun kes tersebut turut ditangguh pada tarikh yang sama, manakala di mahkamah sama, Tarfi juga menghadapi pertuduhan jenayah mencuri.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon agar jaminan tidak diberikan. Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi kemudiannya bersetuju untuk menangguhkan pertuduhan dan kes disebut semula pada 10 September. – KOSMO! ONLINE