PUTRAJAYA – Lelaki berpakaian wanita dalam satu acara pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur baru-baru ini dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa depan kerana ia jelas bertentangan dengan nilai agama Islam itu sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Islam melihat seorang lelaki itu haruslah berfungsi sebagai seorang pemimpin.
“Kita dalam konteks agensi agama ini, kita sentiasa mahu menerapkan kefungsian lelaki itu sebagai seorang pemimpin. Jadi, kita nak menerapkan nilai ini yang ada dalam Al-Quran dalam kalangan lelaki-lelaki di Malaysia ini.
“Jadi, kalau pendekatan yang di bawa dalam fesyen ini yang cuba nak bawa menyerupai wanita, bagaimana kita nak bawa nilai pemimpin itu tadi,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan program Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HiSDAM) di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) sendiri telah menyediakan garis panduan jelas bagi penganjuran apa-apa aktiviti dan program di negara ini.
“Tujuan garis panduan ni ialah untuk memastikan supaya dalam kalangan orang Islam kita tidak tersasar, tidak terlajak daripada ajaran Islam yang sebenar,” katanya.
Baru-baru ini, penganjuran sebuah pertunjukan fesyen di ibu kota mencetuskan perbincangan hangat di media sosial apabila ramai netizen mencela mengenai kehadiran beberapa lelaki yang berpakaian seperti wanita dalam acara tersebut. – KOSMO! ONLINE