fbpx
TASHBUNNY tidak menyangka dia akan pergi sejauh ini dalam dunia e-sukan.

Perjalanan ‘comeback’ Tashbunny dalam e-sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia e-sukan yang pantas berubah, tidak ramai yang berani meninggalkan kerjaya mereka di puncak dan kembali dengan lebih hebat daripada sebelumnya.

Namun, itulah kisah Tashbunny, personaliti dan pengulas (caster) e-sukan yang mula menceburi industri ini pada 2016.

Selepas dua tahun membina nama, Tashbunny mengambil keputusan untuk berhenti pada 2018, satu langkah yang didorong oleh rasa putus asa dan cabaran mencari identiti diri dalam bidang tersebut.

Namun, semangatnya terhadap dunia e-sukan tidak pernah padam. Pada 2020, wanita jelita itu membuat kemunculan semula yang bukan sahaja memulihkan reputasinya, malah melonjakkan namanya ke tahap lebih tinggi, sehingga dinobatkan sebagai Malaysia Esports Awards for Host of the Year 2023, satu pencapaian yang membuktikan keberanian dan dedikasinya dalam bidang ini.

Berkongsi dengan K-Remaja, pemilik nama penuh Natasha Hidayah Hashim itu berkata, dia sama sekali tidak pernah menyangka akan pergi sejauh ini.

“Saya mula berkecimpung dalam dunia e-sukan sebagai hos bagi sebuah kejohanan DOTA2 pada 2015, sewaktu masih bergelar pelajar universiti.

“Semenjak dari itu, kerjaya saya semakin berkembang apabila saya menjadi hos bagi banyak acara lain, bahkan turut berjaya dalam uji bakat untuk saluranl e-sukan pertama Asia Tenggara, eGG Network,” katanya.

Tashbunny kemudian bergelar pengulas pada 2021, dan ketika itu masih belum ramai yang menceburi bidang tersebut.

“Perjalanan itu bermula dengan siaran sekunder untuk PUBG PC Challengers Rumble pada tahun 2021 yang ketika itu hanya ditonton oleh cuma lima orang.

“Entah bagaimana, salah seorang daripada lima orang itu nampak potensi saya dan saya mula menerima lebih banyak tawaran yang membawa saya ke tahap di mana saya berada hari ini.

“Adakah saya pernah melihat diri saya sebagai seorang pengulas? Sejujurnya, tidak. Ia hanyalah sesuatu yang saya lakukan untuk mendapatkan bayaran atau gaji tetapi saya tidak pernah menyangka bahawa saya akan pergi sejauh ini, berkembang begitu banyak dan menjadi begitu bersemangat dalam bidang ini,” katanya.

Sama seperti individu lain, Tashbunny juga berdepan cabaran bergelar pengulas memandangkan pada ketika itu, penonton belum terbiasa melihat wanita mengulas perlawanan e-sukan.

Kongsinya, dia perlu menyesuaikan cara penyampaiannya supaya lebih diterima penonton sehingga mereka sudah semakin terbuka melihat kelibat wanita dalam dunia ulasan e-sukan.

Perjalanan kerjaya pilihan itu membawa Tashbunny kepada anugerah Host of the Year 2023 yang disifatkan sebagai satu bentuk pengiktirafan buatnya.

KERJAYANYA dalam bidang e-sukan semakin berkembang.

“Dunia e-sukan di Malaysia mempunyai waktu kerja yang panjang, bayaran pula kadangkala rendah bersama persaingan yang sangat sengit dek kerana ruang untuk bakat baharu yang agak terhad.

“Kita perlu bersemangat waja dan usaha tanpa henti jika mahu pergi jauh. Saya telah berada dalam bidang pengacaraan e-sukan secara profesional selama kira-kira sembilan tahun dan dalam ulasan selama kira-kira empat tahun.

“Dalam tempoh itu, banyak keraguan yang saya alami bahkan saya sering bersikap terlalu keras terhadap diri sendiri kerana merasakan saya tidak sehebat orang lain.

“Oleh sebab itu, menerima anugerah terasa seperti pengiktirafan bahawa segala perjuangan itu berbaloi kerana berada dalam bidang ini kadang-kadang boleh membuatkan kita rasa agak hilang arah,” katanya.

Dari sudut profesional pula, anugerah itu turut mengiktiraf usaha Tashbunny di pentas antarabangsa.

“Saya selalu rasa bahawa di Malaysia, tidak kira sejauh mana saya pergi di peringkat antarabangsa, tiada siapa yang benar-benar peduli.

“Namun, anugerah ini nyata membuktikan sebaliknya dan ia benar-benar meningkatkan motivasi kepada saya untuk terus memperbaiki diri dan melangkah lebih jauh,” katanya.

Mengakhiri bicara, Tashbunny menitipkan pesanan buat wanita lain yang mengimpikan untuk bergelar pengulas sepertinya supaya kejar cita-cita mereka.

“Nasihat saya adalah buat sahaja apa yang anda suka. Jika anda mahu jadi pengulas, rakam video anda mengulas dan muat naik di media sosial.

“Namun, perlu diingat bahawa jika mahu mengulas, anda perlu minat game tersebut kerana tugas anda adalah untuk menyampaikan cerita dan haruslah berkenaan pemain dan perlawanan, bukan tentang anda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN