JAKARTA – Seorang pegawai daerah di Indramayu, wilayah Jawa Barat melepaskan beribu-ribu ekor ular di sebuah kawasan sawah padi, lapor portal berita lambe Turah semalam.
Pegawai bernama Lucky Hakim itu mendedahkan bahawa tindakan tersebut dilakukan bagi menangani populasi tikus yang semakin meningkat.
“Beribu-ribu ular tikus telah dilepaskan di beberapa kawasan yang menjadi sarang tikus. Kebanyakan petani gagal menuai tanaman mereka dan mengalami kerugian besar akibat haiwan perosak itu.
“Jika tikus-tikus itu diracun, ia akan membahayakan haiwan lain pula. Penduduk setempat juga pernah cuba menangkap haiwan itu tetapi gagal,” kata Lucky.
Tambah Lucky, beliau turut melepaskan beberapa ekor burung hantu di sawah tersebut beberapa hari lalu.
Namun, masalah populasi tikus masih berleluasa, menyebabkan isu itu perlu ditangani dengan lebih variatif dan komprehensif. – AGENSI