fbpx
JEFRI

Kemelut dana berbasikal hampir selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kemelut dana yang membelenggu skuad lebuh raya kebangsaan dijangka selesai minggu ini selepas Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan rundingan bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) menuntut dana demi kelangsungan untuk persiapan ke temasya dwitahunan tersebut selepas meraih pingat emas Sukan SEA Vietnam dan Kemboja.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pertemuan itu akan diadakan susulan kelulusan penyertaan skuad lebuh raya disenaraikan sebagai Kategori A ke Sukan SEA Thailand 2025.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan jumlah yang dipohon oleh dua pasukan profesional sebelum ini tidak mungkin dapat dipenuhi sepenuhnya dan perlu melalui proses rundingan berdasarkan kemampuan kewangan semasa.

“Kita akan beri bantuan, tetapi jumlahnya bergantung pada perbincangan dengan persatuan. Jumlah yang dipohon itu agak besar, jadi kita tengok kesesuaian dengan peruntukan yang ada.

“Kali ini kita hantar hampir 50 jenis sukan dan melibatkan hampir 800 ke 900 atlet. Jumlah itu sangat besar untuk ditanggung pihak kerajaan, saya mahu supaya semua pihak, terutamanya pihak persatuan, bersabar,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, PKBM mengesahkan pihaknya akan turun dengan barisan terbaik ke Sukan SEA Thailand, namun bergantung kepada MSN.

Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman berkata, pecahan awal skuad lebuh raya negara ke Bangkok nanti membabitkan empat pelumba TSG, empat MPC dan seorang dari pasukan kebangsaan.

Ujarnya, senarai akhir hanya akan dimuktamadkan pada 1 September nanti bagi memberi ruang rundingan bersama MSN berhubung permohonan tambahan atlet.

“Kita mahu berikan peluang penuh kepada MSN membuat pertimbangan, sementara PKBM akan berbincang dengan pasukan terlibat.

“Ini misi mempertahankan dua pingat emas lebuh raya yang dimenangi dua edisi berturut-turut. Kita akan pastikan pasukan terbaik turun,” katanya.

Terdahulu, TSG dan MPC menegaskan bahawa sekiranya bajet tambahan yang diminta iaitu sebanyak RM250,000 tidak dapat dipenuhi, maka mereka tidak akan melepaskan pelumba untuk mewakili negara ke Sukan SEA.

Namun, MSN sebelum ini menjelaskan, tiada bajet tambahan akan diberikan kepada PKBM dan hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan RM196,000, jumlah yang dianggap tidak relevan mengikut kos semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI