JOHOR BAHRU – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dengan kerjasama erat kerajaan negeri melakar sejarah baharu menerusi inisiatif air dipulih guna khusus untuk sektor pusat data.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui program itu, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. akan membekalkan sehingga 12 juta liter sehari (JLH) air kumbahan terawat ke loji air pulih guna yang menyokong operasi dua pusat data utama di Johor.
Katanya, usaha itu mencerminkan komitmen bersama kerajaan Persekutuan dan Johor dalam memastikan kestabilan bekalan air di samping menggalakkan amalan industri teknologi yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“IWK mengeluarkan 7,371 JLH efluen terawat dari loji-loji rawatan kumbahan di seluruh negara dan 1,067 JLH di Johor yang mana ia berpotensi besar untuk diguna semula bagi tujuan sumber air alternatif.
“(Inisiatif) Ini akan dapat mengoptimumkan sumber air negara, sekali gus mengurangkan beban permintaan terhadap air minuman terawat,” katanya berucap pada Majlis Pengiktirafan Penggunaan Alternatif Bagi Industri Data di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE