JASIN – Seorang wanita warga emas maut manakala anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Nyalas, Kampung Pondok Batang, di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 66 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya yang berusia 23 tahun mengalami kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, Pegawai Bomba Kanan I Azman Md Dawam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.32 tengah hari sebelum tujuh anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan kereta Perodua Viva yang dinaiki dua beranak dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan buah-buahan.
“Kedua-dua mangsa wanita tersepit di tempat duduk hadapan dan pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Azman, pemeriksaan mendapati pemandu lori, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, tidak mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE














