PETALING JAYA – Peraturan 78 atau Rule 78 yang digunakan dalam pengiraan kadar faedah pinjaman di Malaysia wajar dimansuhkan segera dan digantikan dengan kadar faedah efektif yang tidak membebankan peminjam.
Pakar Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, langkah itu penting supaya peminjam mendapat kadar pembayaran pinjaman yang lebih adil berbanding Peraturan 78.
Beliau berkata, peraturan tersebut hanya menguntungkan institusi kewangan, manakala peminjam terpaksa menanggung faedah yang tinggi iaitu mencecah sehingga 50 peratus daripada jumlah pinjaman sebenar.
“Langkah memansuhkan Peraturan 78 sepatutnya sudah lama dilaksanakan. Walaupun kadar Dasar Semalaman (OPR) telah diturunkan, kaedah pengiraan faedah melalui Peraturan 78 masih tidak berubah.
“Kita perlu mendesak Bank Negara Malaysia (BNM) supaya mempercepatkan pemansuhan peraturan ini dan menggantikannya dengan sistem yang lebih adil.
“Lagi pun sudah banyak negara seperti Australia, New Zealand United Kingdom dan beberapa negeri di Amerika Syarikat telah memansuhkan peraturan ini. Jadi sudah tiba masanya Bank Negara (BNM) melakukan langkah sama,” katanya kepada Kosmo!
Peraturan 78 adalah satu kaedah pengiraan kadar faedah yang digunakan dalam pinjaman, terutamanya pinjaman tetap.
Dalam kaedah ini, sebahagian besar faedah dibayar pada awal tempoh pinjaman yang bermaksud peminjam membayar lebih banyak faedah pada awal tempoh pinjaman berbanding dengan tempoh kemudian.
Ini bermakna, jika peminjam melangsaikan pinjaman lebih awal, mereka masih perlu membayar sebahagian besar faedah walaupun belum habis tempoh.
Ini menyebabkan peminjam rugi kerana faedah telah ‘dikutip awal’ oleh bank atau syarikat pembiayaan. Secara realitinya, ia menguntungkan pemberi pinjaman, tetapi tidak adil kepada peminjam, terutamanya jika mereka melangsaikan pinjaman lebih awal.
Dalam pada itu, BNM pernah mencadangkan pemansuhan penggunaan kadar faedah rata bagi pembiayaan peribadi yang dikira melalui kaedah Peraturan 78 pada Disember lalu, namun cadangan itu masih di peringkat draf dan belum dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, sekiranya BNM memansuhkan Peraturan 78, institusi pemberi pinjaman seperti bank masih boleh membuat keuntungan dan tidak memberi kesan ketara kepada syarikat terbabit.
“Keuntungan bank akan menurun tetapi tidak turun banyak sebab bank pada hari ini memberikan pinjaman untuk ‘high purchase’ dan ‘personal loan’ ini tidak begitu banyak.
“Dengan kata lain, bank tetap untung, mungkin keuntungan akan berkurang sehingga 10 peratus sahaja (berbanding sebelum ini 50 peratus keuntungan melalui Peraturan 78), tidak jejaskan bank pun,” katanya.
Ketika ditanya apakah kaedah baharu yang boleh dilaksanakan sekiranya Peraturan 78 dihapuskan, Barjoyai berkata, ia boleh digantikan dengan ‘effective interest rate method’ atau kaedah kadar faedah efektif.
Kata beliau, keadah ini lebih adil kerana ia akan mengira faedah berdasarkan baki pinjaman semasa bukannya daripada jumlah pokok pinjaman.
“Jadi walaupun kadar faedahnya enam peratus tetap tapi jumlah yang dibayar akan menurun (berdasarkan baki pinjaman semasa) bukannya berdasarkan jumlah pokok pinjaman,” katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) bersetuju sekiranya Peraturan 78 yang diguna pakai institusi perbankan untuk mengira kadar faedah atau keuntungan dikenakan kepada peminjam dihapuskan.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kaedah pengiraan tersebut dilihat tidak memberi kelebihan kepada pengguna, selain mengelirukan.
Katanya, Cake mengalu-alukan penghapusan Peraturan 78 yang dikenakan kepada peminjam seperti dicadangkan BNM pada 2023.
“Ini kerana, kalau kita lihat balik pinjaman ikut Peraturan 78 itu, kadar faedahnya tidak tetap yang mana kadarnya lebih tinggi pada awal pinjaman dan kemudian semakin berkurangan.
“Kesukaran peminjam ini apabila peminjam tak dapat lunaskan bayaran atau tertunggak. Apabila tertunggak, penalti yang dikenakan menyebabkan pengguna tidak faham dan mungkin kena bayar dengan kadar lebih tinggi,” katanya.
















