fbpx
Saifuddin pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat GBC di Wisma Pewira ATM, hari ini. -Foto oleh AMIR KHALID

Malaysia pemudah cara damai Thailand-Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand mencerminkan semangat ASEAN dalam menyelesaikan konflik secara aman menerusi rundingan dan persefahaman bersama.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan kedua-dua negara itu selari dengan prinsip kepercayaan dan saling menghormati yang menjadi asas kerjasama serantau selama ini.

“Gencatan senjata bukan sekadar menghentikan tembakan, tetapi satu janji untuk melindungi nyawa, menjunjung maruah dan mencegah penderitaan berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara pemimpin tentera Kemboja dan Thailand di Wisma Perwira, di sini hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Saifuddin berkata, Malaysia berbangga atas peranan sebagai pemudah cara dalam usaha perdamaian itu yang sejajar dengan prinsip rundingan serta konsensus yang dipegang oleh ASEAN.

“Melalui GBC seperti yang kita sedia maklum, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengetengahkan kenyataan bersama yang mengandungi pelbagai perkara. Ini termasuk komitmen, tekad dan kesungguhan untuk bersama menyumbang ke arah kedamaian.

“Pendekatan mekanisme dua hala adalah yang dipersetujui dan diterima pakai buat masa ini, walaupun Perdana Menteri sempat menghubungi kesemua pemimpin ASEAN yang menyatakan sokongan terhadap peranan Malaysia serta persetujuan bahawa mekanisme sedia ada adalah memadai,” katanya.

Beliau menambah, perbincangan tersebut menunjukkan persefahaman bahawa gencatan senjata dicapai bukan sekadar satu keputusan taktikal, namun satu komitmen politik yang memerlukan kesungguhan dan keikhlasan kedua-dua pihak.

“Kita percaya pada penyelesaian melalui konsensus, bukan konfrontasi.

“Kepercayaan dan rasa hormat menjadi asas kepada perpaduan serantau yang kita pertahankan,” ujarnya.

Pada 28 Julai lalu, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menjadi tuan rumah mesyuarat penting di Kuala Lumpur yang menghimpunkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayacha.

Susulan mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah awal membina semula kepercayaan dan kerjasama.

Konflik di sempadan Preah Vihear tercetus pada 28 Mei lalu mengorbankan 15 nyawa dan memaksa lebih 100,000 penduduk berpindah, sekali gus membangkitkan semula pertikaian lama membabitkan sempadan sepanjang 817 kilometer antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI