fbpx
Anwar bercakap kepada pemberita selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Kerajaan pertimbang naikkan cukai tembakau – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan kadar cukai tembakau selaras dengan komitmen negara terhadap kesihatan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu juga berikutan telah lama tiada semakan semula terhadap kadar cukai berkenaan.

“Saya bersemangat. Saya tidak merokok dan saya juga anti merokok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan di sini tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan sedang meneliti langkah menaikkan kadar cukai tembakau dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober ini.

Kadar cukai tembakau sebagai peratusan daripada harga runcit di Malaysia ketika ini ialah 58.6 peratus dan negara tidak mempunyai mekanisme tetap untuk pelarasan berkala atau penilaian semula kadar cukai tersebut.

Kali terakhir cukai tembakau dinaikkan adalah pada September 2014.

Sebelum ini, ada cadangan yang mencadangkan agar kadar cukai itu dinaikkan kepada antara 60 hingga 75 peratus.

Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) minggu lalu, Anwar menyatakan bahawa kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan cukai berasaskan kesihatan bukan sahaja ke atas produk bergula, tetapi juga terhadap tembakau, vape, dan alkohol.

Katanya, perluasan cukai ini bukan sahaja bertujuan menambah hasil negara, tetapi lebih penting untuk menggalakkan perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan.

NCD sering dikaitkan dengan gaya hidup tidak sihat dan merangkumi penyakit seperti serangan jantung, angin ahmar, diabetes dan kanser.

Menurut kalendar Parlimen, Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN