fbpx
Komuniti masyarakat perlu memainkan peranan sebagai rakan AADK untuk salurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.

‘Satu kampung perlu buat kerja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JUMLAH penyalahgunaan dan penagihan dadah di Malaysia yang merekodkan angka sebanyak 192,857 orang pada 2024 berbanding 145,526 orang pada 2023 memberi indikasi masalah sosial itu perlu diberi perhatian segera dengan penglibatan semua pihak.

Dalam konteks ini, usaha menangani masalah itu bukan sahaja perlu disandarkan sepenuh kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebaliknya setiap lapisan masyarakat perlu menjadi ‘rakan’ kepada agensi itu bagi bersama-sama memerangi najis dadah.

Istilah ‘jangan jaga tepi kain orang’ yang sering dikaitkan dengan budaya Melayu juga dilihat perlu ditepis bagi memastikan setiap anggota masyarakat sentiasa peka dan mengambil tahu masalah sekeliling termasuk penyalahgunaan dadah.

Bagi mengulas lebih lanjut berhubung situasi terkini penyalahgunaan dan ketagihan dadah di Malaysia, wartawan Kosmo! Ahad, Ridzauddin Roslan menemu bual Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh di Ibu Pejabat AADK di Kajang, Selangor baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Masalah pe­nyalahgunaan dadah bagaikan tiada kesudahan, apakah faktor menyebabkan ia sukar dibendung?

RUSLIN: Masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia merupakan isu yang berlarutan selama bertahun-tahun
dan amat kompleks.

Terdapat beberapa faktor menyebabkan ia sukar dibendung sepenuhnya dan melibatkan aspek sosial, ekonomi, psikologi serta penguatkuasaan undang-undang. Antara faktor utama ialah wujudnya permintaan dan penawaran, sekali gus menyebabkan sukar dibendung.

Walaupun usaha penguatkuasaan dilaksanakan, namun permintaan terhadap dadah tetap tinggi terutama melibatkan jenis sintetik.

Selain itu, penyalahgunaan dadah juga didorong oleh penawaran yang datang daripada sindiket dadah yang sentiasa mencari cara baharu untuk menyeludup bahan terlarang itu ke dalam negara.
Penawaran dadah merujuk kepada penyediaan atau pengeda­ran dadah kepada pasaran oleh pengedar atau sindiket dadah.

Selain itu, adakah faktor-faktor lain yang menyebabkan isu penyalahgunaan dadah terus berlarutan?

Faktor sosial seperti pe­ngaruh keluarga, rakan sebaya, masyarakat serta budaya sosial yang ada di sesuatu kawasan.

Selain itu, kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sukar atau tidak stabil juga mempe­ngaruhi tingkah laku seseorang dan membuka jalan kepada pe­nyalahgunaan dadah.

Individu yang hidup dalam keadaan ekonomi tidak stabil seringkali mencari jalan keluar dengan cara tidak sah se­perti melalui penyalahgunaan dadah.

Selain itu, faktor psikologi juga memainkan pe­ranan penting, yang merujuk kepada bagaimana aspek mental, emosi dan tingkah laku individu mempengaruhi keputusan mereka untuk menggunakan dan terus terlibat dalam pe­nyalahgunaan dadah.

Adakah pengeluaran dadah sintetik ketika ini menyebabkan jumlah penagih makin ramai di Malaysia?

Tidak dinafikan penggunaan dadah sintetik masa kini memang memberi impak besar terhadap peningkatan jumlah penagih dadah.

Mengikut data dikeluarkan AADK pada 2024, penagihan dadah jenis Am­phetamine-Type-Stimulant (ATS) merangkumi 73 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalah guna dan penagih dadah.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 34.4 peratus berban­ding tahun 2023.

Ruslin (kiri) ketika diwawancara Wartawan Kosmo! Ahad mengenai isu dadah dalam kalangan komuniti.

Kenapa individu terbabit lebih memilih ATS berban­ding dadah tradisional seperti ganja, adakah ia memberi ‘feel’ berbeza?

Penggunaan dadah jenis sintetik memberikan kesan dan pe­ngalaman berbeza kerana mempunyai euforia yang lebih kuat dan tahan lama.

Euforia merujuk kepada kea­daan perasaan yang sangat gembira, penuh kebahagiaan atau kegembiraan yang luar biasa.

Ia adalah perasaan kuat yang boleh mencetuskan rasa gembira yang mendalam atau keadaan keberuntungan berlebihan.

Euforia biasanya berlaku apabila seseorang mengalami pe­rasaan atau keadaan yang membuat mereka merasa terlalu puas hati atau teruja.

Salah satu ciri utama dadah sintetik ialah kemampuannya untuk memberikan kesan lebih kuat dan berpanjangan berban­ding dengan dadah tradisional.

Sebagai contoh, methamphetamine dan ekstasi (MDMA) ialah dadah sintetik yang boleh menyebabkan pengguna merasa lebih bertenaga dan pengalaman memuaskan.

Ini menarik ramai pengguna untuk mencubanya berulang kali kerana mereka mencari kesan yang lebih ‘high’ dan tidak dapat diperoleh daripada dadah tradi­sional seperti ganja.

Berapakah jumlah kawasan berisiko tinggi (KBT) dadah di seluruh negara yang berjaya dipulihkan AADK setakat ini?

AADK sentiasa memandang serius isu berkaitan penyalahgunaan dadah di Malaysia. Pada tahun 2024 sebanyak 117 KBT telah berjaya ditukarkan kepada kawasan berisiko rendah (KBR).

Ia dibuat berdasarkan kriteria dan penilaian yang ditetapkan mengikut standard yang digariskan.

Jadi, bagi mencapai kadar penagihan terkawal mengikut julat ambang ditetapkan, AADK merancang untuk memastikkan semua KBT ini berjaya ditukarkan kepada KBR menjelang akhir tahun 2025 dengan merangka satu Pelan Komunikasi Media jangka panjang secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak terlibat.

Berapa jumlah penagih dadah berjaya dikesan sehingga kini dan negeri mana yang paling ramai mempunyai penagih?

Pada tahun lalu, sebanyak 192,857 orang dikesan terlibat dengan penagihan dan penyalahgunaan dadah. Angka itu dilihat sedikit meningkat berbanding 2023 (145,526 orang).

Bercakap mengenai negeri merekodkan jumlah tertinggi pula, empat negeri menunjukkan kadar penyalahgunaan dan penagihan dadah bagi 100,000 penduduk iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Kelantan adalah tertinggi de­ngan jumlah 1,130 orang pe­nyalahguna dan penagih dadah serta bahan diikuti di Terengganu, Perlis dan Kedah.

Tahun lalu ada kes pengunjung sebuah konsert di Sela­ngor maut ekoran dadah. Apa pandangan AADK berhubung insiden itu?

Isu penyalahgunaan dadah dalam konsert hiburan wajar ditangani melalui pendekatan pendidikan pencegahan kerana ia lebih praktikal dalam memberi kesedaran awal kepada pengunjung konsert.

Pelbagai jenis medium boleh dibuat bagi memastikan pengunjung sedar tentang bahaya dadah seperti cetakan mesej bebas dadah pada tiket, paparan mesej di ‘billboard’ selain penganjur boleh mendapatkan khidmat nasihat berkenaan langkah-langkah pencegahan dadah daripada AADK khususnya yang dikeluarkan oleh Pusat Latihan AADK.

Selain itu, AADK juga berpandangan supaya syarat pemberian permit hiburan oleh kerajaan negeri dan majlis daerah perlu diperketatkan dengan mengambil kira pelbagai aspek terutamanya melibatkan penyalahgunaan dadah dan bahan dengan melibatkan AADK sebagai salah seorang panel penasihat dalam memberi kelulusan permit yang dimohon.

Permit yang diluluskan perlu berada dalam pengetahuan AADK supaya konsep ‘omnipresence’ dapat diterapkan bagi mengelakkan penggunaan dadah semasa konsert berlangsung.

Setakat ini, berapa jumlah penagih yang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara?

Sehingga 7 Mac lalu, terdapat seramai 5,580 klien yang menjalani pemulihan di Puspen seluruh negara.

Dalam hal ini, AADK komited meningkatkan keberkesanan program rawatan dan pemulihan serta menyediakan sokongan berterusan kepada mereka yang telah menjalani rawatan bagi mengurangkan kadar relaps dan memastikan mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat dengan lebih berkesan.

Kebanyakan anggota masyarakat bimbangkan ke­selamatan diri untuk membuat aduan berkaitan penyalahgunaan dadah. Apa jaminan AADK berikan jika mereka berbuat demikian?

Bagi memastikan isu kerahsiaan berkaitan aduan diuruskan dengan baik, AADK akan memastikan perlindungan dan keselamatan kepada pengadu berdasarkan kepada Akta Perlindungan Saksi 2009 dan juga Akta Perlin­dungan Pemberi Maklumat 2010.

Kedua-dua akta ini menjamin segala aduan dan identiti pengadu dirahsiakan. Selain itu, semua pegawai AADK juga tertakluk dengan peraturan berkuat kuasa termasuk Akta Rahsia Rasmi agar segala maklumat berkaitan aduan yang bersifat rahsia hendaklah diuruskan secara berintegriti dan mematuhi secara peraturan berkuatkuasa.

Adakah masyarakat perlu jadi mata dan telingan AADK dalam konteks menyalurkan maklumat penyalahgunaan dadah?

Kita perlu sokongan rakyat dalam semua peringkat untuk jadi ejen kita kerana AADK tidak boleh berada di setiap kampung, komuniti masyarakat itu perlu memainkan peranan sebagai rakan kami untuk salurkan maklumat.

Satu kampung perlu buat kerja. Ini kerana dalam aspek pencegahan dadah, kita tidak ada istilah ‘jangan kacau tepi kain orang’, setiap anggota komuniti perlu ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN