fbpx
Rekaan Honda HR-V facelift 2025 terbaharu ini disifatkan lebih garang dengan jeriji baharu yang lebih lebar dan rekaan bampar lebih tajam.

Honda HR-V facelift 2025 lebih ‘garang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK diperkenalkan pada tahun 2015, nama Honda HR-V sudah sebati sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak paling popular dalam segmen B bukan nasional di Malaysia.

Kini, dengan kehadiran model facelift 2025, HR-V bukan sahaja tampil lebih segar, tetapi canggih dan pintar.

Untuk makluman, HR-V ialah singkatan kepada ‘Hi-rider Revolutionary Vehicle’ yang menjadi model penting dalam pelan Honda Malaysia untuk memperluas teknologi hibrid dalam segmen mampu milik.

HR-V terus mendominasi jalan raya dengan lebih 170,000 unit terjual di negara ini dan menguasai 41 peratus bahagian pasaran dalam SUV segmen B bukan nasional.

Versi Honda HR-V 2025 telah dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai lalu pada harga RM115,900 hingga RM143,900 menerusi empat varian.

Empat varian tersebut ialah 1.5L VTEC (S) pada harga RM115,900, 1.5L VTEC Turbo (E) RM130,900, 1.5L VTEC Turbo (V) RM137,900 dan 1.5L e:HEV RS RM143,900 atas jalan raya tanpa insurans.

Ia masih mengekalkan tiga pilihan trenkuasa iaitu enjin aspirasi natural (NA), VTEC Turbo dan sistem hibrid e:HEV dua motor yang terbukti menjimatkan bahan api dan mesra alam.

Atas kertas, penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 4.2 liter per 100 kilometer agar menjimatkan dengan kadar kesenyapan bunyi (NVH) rendah.

Transisi antara enjin petrol dan motor elektrik kini jauh lebih halus berbanding model sebelumnya dengan bunyi enjin lebih terkawal terutama ketika melakukan pendakian.

Ini hasil talaan semula sistem e:HEV dan bahan penebat tambahan dalam model terbaharu.

Dari segi kuasa, HR-V RS e:HEV menggunakan trenkuasa 1.5L Atkinson Cycle dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa maksimum 131PS dan tork 253Nm.

Walaupun asas reka bentuk masih berteraskan model generasi kedua, HR-V 2025 facelift tampil lebih ‘garang’ dengan jeriji baharu yang lebih lebar, rekaan bampar lebih tajam dan lampu LED penuh dengan sistem Active Cornering Light.

Active Cornering Light amat sesuai untuk pemanduan malam di jalan raya yang kurang pencahayaan.

Dari segi ruangan dalaman, papan pemukanya kini lebih simetri dan tersusun.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu LED jalur penuh yang lebih tirus, menjadikannya SUV lebih premium.

Semua varian diperkemas rim bersaiz 18 inci dengan RS diberi nafas baharu dengan rim dua tona berkilat premium.

Sementara itu, meninjau ke ruangan kabin, rekaan papan pemuka kini lebih simetri dan tersusun yang mana konsol tengah baharu menyediakan lebih ruang simpanan yang praktikal untuk meletakkan telefon atau dompet.

HR-V facelift ini turut memperkenalkan beberapa ciri baharu termasuk sistem penapis udara menjadikannya model Honda pertama di Malaysia hadir dengan ciri tersebut.

Skrin infotainment bersaiz lapan inci kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar, dan varian RS turut dilengkapi pengecas Qi wireless.

Aspek keselesaan turut ditekankan dengan kerusi balutan kulit dengan logo RS emboss, kawalan pendingin dua zon dan tailgate (bonet belakang) dengan auto-close.

Selain itu, fungsi ‘Honda Connect’ membolehkan pengguna mengawal kenderaan dari telefon pintar seperti membuka kunci, menghidupkan enjin dan mengesan lokasi kereta.

Ciri keselamatan ‘Honda Sensing’ ditawarkan sebagai standard dan kini ditambah baik dengan dua ciri baharu iaitu Adaptive Driving Beam serta Active Cornering Light memberikan keyakinan ketika pemanduan malam atau di selekoh.

Walaupun bersaiz kompak, HR-V menawarkan ruang tempat duduk dan bonet lebih luas dengan ciri ‘Ultra-Seats’ membolehkan tempat duduk belakang dilipat rata untuk membawa barangan besar.

Paling menarik, HR-V kini ditawarkan dalam warna baharu Phoenix Orange Pearl dan Crystal Black Pearl yang menambah pilihan kepada para pengguna.

Kesimpulannya, HR-V facelift 2025 bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi evolusi menyeluruh dari aspek gaya, teknologi dan keselamatan tanpa kenaikan harga secara drastik.

Tidak hairanlah, SUV ini menjadi pilihan keluarga Malaysia kerana praktikaliti, walaupun banyak pesaing automotif baharu muncul di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN