SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mahu peraturan atau undang-undang yang lebih tegas untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape, bukan hanya di negeri ini, bahkan di seluruh negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengharaman vape itu sudah pun dipersetujui dalam Majlis Raja-Raja untuk negeri-negeri mengambil tindakan, namun undang-undangnya harus jelas.
“Negeri Sembilan menyokong pengharaman tetapi memerlukan peraturan dan undang-undang yang tegas. Macam dadah, kita kata haram. Ada peraturan, ada hukuman, ada denda.
“Oleh itu, perlu dikaji semula supaya ada peraturan, ada undang-undang yang boleh dilaksanakan apabila pengharaman ini dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15, di sini, hari ini.
Untuk rekod, sebelum ini, enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang telah melaksanakan larangan awal termasuk tidak memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik. – KOSMO! ONLINE