SECARA asasnya, masa diambil untuk membaiki kerosakan jalan raya melibatkan masalah retakan atau lubang kecil adalah sekitar 30 minit hingga dua jam.
Tidak dinafikan, jangka masa tersebut boleh mengakibatkan gangguan perjalanan kepada pengguna jalan raya sehingga berlakunya kesesakan ketika kerja-kerja membaiki jalan raya dilakukan.
Bagi mengatasi masalah itu, sebuah syarikat pembangunan pintar di Sweden, Mowic AB telah membangunkan teknologi baharu iaitu mesin yang disambungkan dengan trak tangki bahan bitumen (tack coat).
Kemudahan dikenali sebagai Dragon Patcher itu berjaya membantu syarikat binaan, Skanska membaiki sehingga 150 jalan berlubang pada setiap hari.
Tempoh pembaikan pula hanya mengambil masa kira-kira dua minit.
Memetik laporan media tempatan, SVT Nyheter, Skanska menjadi organisasi binaan pertama di negara itu yang menggunakan teknologi Dragon Patcher.
Menurut Pengurus Projek Skanska, Johan Fredriksson, pihaknya yakin teknologi tersebut mampu menjadi pemangkin semangat kepada pekerja kerana tidak perlu meluangkan masa terlalu lama di bawah terik matahari.
“Kami melihat potensi besar dalam penggunaan teknologi seperti Dragon Patcher kerana ia bukan sahaja mempercepatkan proses pembaikan jalan, malah mengurangkan risiko terhadap pekerja kami.
“Mereka tidak perlu lagi berada di atas jalan raya berdekatan dengan lalu lintas lebih-lebih lagi ketika cuaca panas atau hujan,” ujarnya.
Tambah Fredriksson, gelaran dragon atau naga diberikan kerana alat tersebut mengeluarkan api yang kelihatan seperti haiwan mitos popular itu.
“Kami ingin nama yang unik dan mencerminkan sesuatu yang hebat. Jadi setelah berfikir, gelaran naga dipilih kerana kedengaran menarik dan sepadan dengan kemampuannya.
“Kewujudan alat ini bukan sekadar menjadikan proses membaiki jalan berlubang lebih pantas, selamat dan jimat, malah ia permulaan kepada teknik membaiki jalan raya lebih lancar pada masa hadapan.
“Kami berharap, kemudahan ini turut berkembang ke negara lain, bersesuaian keperluan semasa,” katanya.

Sistem penyembur api automatik di bahagian depan trak memiliki pelbagai fungsi. Sistem itu berfungsi meniup angin serta menyembur bitumen, campuran agregat dan bitumen ke dalam lubang.
Bagi memastikan proses membaiki berjalan lancar, kawasan sekitar lubang perlu dibersihkan dengan vakum angin hembusan udara bertekanan tinggi (compressed air/vacuum air blower) terlebih dahulu.
Cara itu bagi memastikan lubang di jalan dapat dibersihkan dengan udara termampat, sekali gus menghilangkan serpihan benda asing dan kotoran.
Fredriksson memberitahu, penyembur bitumen yang dijadikan sebagai pelekat (tack coat) digunakan sebelum campuran asfalt dimasukkan ke dalam lubang.
Bitumen itu dapat membantu bahan tampalan melekat kuat pada permukaan jalan asal.
“Pemanasan akan digunakan sekiranya cuaca sejuk. Ini kerana nyalaan api digunakan untuk mencair dan mengeringkan kawasan tersebut bagi memastikan bahan lekatan melekat.
“Lapisan bitumen yang dipanaskan digunakan di atas campuran batu agar membentuk permukaan jalan yang kuat dan tahan lama,” katanya.
Mengimbau semula sejarah awal Dragon Patcher, media SVT Nyheter berkongsi bahawa teknologi itu mula dibangunkan oleh Mowic AB sekitar 2017 dengan harapan untuk mewujudkan mesin pembaikan jalan automatik.
Setelah menjalani proses rekaan mekanikal, sistem kawalan, ujian dalaman dan simulasi selama dua tahun, teknologi itu kemudian diuji kaji di jalan raya sebenar sekitar tahun 2020.
Setelah yakin dengan keberkesanan dan tahap pembaikan kerosakan jalan, penggunaan Dragon Patcher secara rasmi digunakan di Sweden pada tahun sama.
Inovasi itu berjaya menarik perhatian beberapa negara Eropah lain seperti Norway, Finland, Denmark dan Jerman.
Sementara itu, sebagai pihak yang membangunkan Dragon Patcher, Ketua Pegawai Eksekutif Movic AB, Christer Lundberg berkata, kemudahan itu mampu melakukan kerja lima kali lebih pantas daripada kaedah menampal jalan tradisional.
Inovasi itu bukan sahaja menjimatkan masa, malah dapat mengurangkan jumlah tenaga kerja yang terlibat di lapangan.
“Proses ini hanya memerlukan seorang pengendali yang dapat melakukan semua pembaikian sendiri dengan menggunakan sistem robotik.
“Jika diperlukan pun hanya seorang kakitangan bagi membantu pemandu melakukan kerja dengan lebih baik dan cekap.
“Alat ini bukan sekadar membaik pulih jalan berlubang, malah boleh digunakan untuk ‘merawat’ bahagian jalan yang retak atau kerosakan kecil untuk mengelak ia berlubang pada masa hadapan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beberapa kakitangan tambahan diperlukan bagi membantu pengawasan dan kawalan kelancaran lalu lintas ketika proses membaiki dibuat terutama di laluan sempit.
Salah seorang warga tempatan yang enggan namanya dikenali berkata, alat tersebut bukan sahaja melancarkan urusan kakitangan, malah memelihara jalan raya supaya lebih selamat dan teratur.
Katanya, perubahan suhu sepanjang tahun akibat perubahan musim secara tidak langsung boleh mempengaruhi kualiti jalan raya.
“Sebagai negara empat musim, tentu sahaja perubahan suhu akan memberi kesan terhadap kualiti dan ketahanan jalan raya.
“Dengan adanya teknologi ini, pengguna akan berasa lebih selamat kerana memandu kenderaan di atas jalan raya yang permukaannya baik dan rata.
“Paling penting, ia tidak merosakkan tayar dan kenderaan yang lalu lalang di atas jalan raya,” ujarnya.















