NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 14 orang ditahan di India kerana didakwa membunuh seorang lelaki sebelum mengerat alat sulitnya, selepas mangsa disyaki mengamalkan ilmu hitam, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Kejadian berlaku di Gajapati, negeri Odisha kelmarin.
Kesemua suspek didakwa mencekik mangsa hingga mati lalu memotong alat sulitnya sebelum ia dibuang di Empangan Harabhangi.
Seorang pegawai polis, Suresh Chandra Tripathy berkata, mayat lelaki itu ditemukan terapung di takungan semalam.
“Penduduk pada awalnya mengesyaki kematian seorang wanita pada minggu lalu berpunca daripada ilmu hitam yang diamalkan mangsa.
“Bimbang diserang, mangsa bersama ahli keluarganya pergi ke rumah mentuanya.
“Selepas mangsa pulang ke rumah, dia diculik lalu dibunuh,” kata Suresh.
Polis berjaya memberkas 14 suspek, manakala mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat. – AGENSI