fbpx
MENJAGA lidah semasa bulan puasa adalah sesuatu yang sukar.

Paling susah bulan puasa nak jaga lidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG bulan Ramadan, umat Islam diingatkan agar lebih berdisiplin dalam menjaga tutur kata kerana ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi turut menuntut kawalan terhadap lisan dan akhlak seharian.

Peringatan itu termasuklah dalam komunikasi di alam maya seperti media sosial yang kini menjadi ruang utama perbualan, perdebatan dan perkongsian pandangan yang mudah mencetuskan salah faham serta perbalahan.

Trend ‘berani bersuara’ di platform digital yang sering diikuti dengan emosi, nada sinis dan budaya kecaman juga dilihat semakin membimbangkan, terutama apabila memasuki bulan ibadah yang menuntut ketenangan jiwa serta kesantunan akhlak.

Pendakwah, Ustaz Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz berkata, cabaran terbesar ketika berpuasa bukanlah menahan perut, sebaliknya menahan lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan, menghina atau menimbulkan dosa.

Menurut beliau, dalam suasana harian yang dipenuhi perbualan santai, gurauan dan perbincangan di telefon pintar, seseorang boleh terleka hingga tanpa sedar melontarkan kata-kata yang kurang baik atau mengguris perasaan orang lain.

“Puasa bukan susah hendak menahan lapar, tetapi susah nak menjaga lidah. Saya sendiri risau kalau kata-kata yang tidak baik boleh merosakkan pahala yang sedang dikumpul.

“Saya sendiri tidak terlepas daripada perkara yang melalaikan seperti ini. Kadang-kadang bukan niat apa pun, cuma seronok bersembang, tanpa sedar lidah terlanjur juga. Terkadang mungkin banyak kata-kata yang kurang baik terkeluar daripada bibir,” katanya.

Ustaz Mohammad Asraff berkata, keadaan itu bukan sekadar berlaku secara bersemuka, malah lebih membimbangkan apabila ia berlaku di media sosial kerana jejak tulisan sukar dipadam, cepat tular dan boleh berpanjangan menjadi fitnah serta bahan pertikaian.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat menilai semula cara berbahasa ketika memberi komen, membalas hantaran atau berkongsi sesuatu isu agar tidak terjebak dalam budaya mengecam, memaki hamun, menyindir melampau atau menjatuhkan maruah pihak lain.

“Ada satu doa yang sering dipesan oleh tok guru sebagai amalan untuk menjauhkan diri daripada berkata buruk, malah beliau menjemput orang ramai mendapatkan doa tersebut melalui ruangan komen.

“Doa yang dikongsikan itu berbunyi ‘Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan pendengaranku, penglihatanku, lidahku, hatiku dan diriku sendiri’

“Moga dengan doa ini Allah menguatkan lagi niat kita untuk menjaga dalaman, bukan sekadar apa yang zahir, tetapi juga kata-kata yang lahir daripada hati,” ujarnya.

Beliau turut mendoakan agar masyarakat agar dipelihara daripada ucapan yang melukakan orang lain dan dikurniakan ketenangan melalui kata-kata yang baik.

“Dalam usaha menjaga diri, saya amat menghargai orang ramai yang memilih untuk terus berbuat baik, menjaga amal, dan menyalurkan infaq dengan penuh keikhlasan.

“Saya berdoa semoga kita semua terpelihara daripada ucapan atau kata-kata yang melukakan orang lain dan semoga hati kita semua dikurniakan ketenangan melalui kata-kata baik yang lahir daripada diri kita sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN